PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menahan empat lelaki Bangladesh semalam, disyaki terlibat dalam kegiatan ‘ulat’ emas dan telefon pintar, melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM187,742.10.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan penahanan suspek di Terminal 1 KLIA itu dibuat hasil kerjasama, risikan awal dan pemprofilan oleh Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
“Antara barangan dirampas termasuk tiga barang kemas dianggarkan bernilai RM160,000, 12 telefon pintar pelbagai jenama bernilai RM22,700, wang tunai RM5,042.10 dan lima pasport antarabangsa milik warganegara Bangladesh,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63, dengan tiga daripada suspek melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, manakala seorang lagi di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit sah.
Laporan polis telah dibuat dan semua suspek diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor untuk siasatan lanjut dan pendakwaan.
“Kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama antara pasukan keselamatan di pintu masuk negara dalam membanteras penyeludupan dan menyekat kemasukan elemen yang boleh mengancam keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA