AM

PM ANWAR TINJAU PROJEK PADI ORGANIK DESA GEMALAI

09/08/2025 01:33 PM

KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau projek penanaman padi di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Desa Gemalai Baruh Padi Alami, Mulong.

Beliau tiba pada 11.15 pagi diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad sebelum mendengar taklimat mengenai pelaksanaan projek berkenaan.

Perdana Menteri kemudiannya menandatangani plak pelaksanaan projek sebelum berjalan kaki ke kawasan sawah untuk meninjau sendiri kaedah penanaman, termasuk penggunaan sistem solar bagi pengairan dan saliran, serta penerapan teknologi moden dalam mengusahakan 8.49 hektar padi organik yang kini memasuki musim penanaman kelima.

Walaupun cuaca panas, Perdana Menteri meluangkan kira-kira 30 minit meninjau lokasi sebelum beredar 11.45 pagi untuk menghadiri program seterusnya.

Desa Gemalai, yang diusahakan oleh Mohd Yusri Mohamad Nor sejak 2023, mengamalkan pertanian mesra alam tanpa baja dan racun kimia.

Projek itu mencapai purata hasil sekitar lima metrik tan sehektar dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui KADA.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan