JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI MAUT, DUA CEDERA DALAM KEMALANGAN TIGA MOTOSIKAL DI KOTA TINGGI

09/08/2025 09:33 AM

KOTA TINGGI, 9 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan maut, manakala dua lagi termasuk seorang warganegara asing cedera dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kilometer 28.5 Jalan Kulai–Kota Tinggi, kira-kira 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata kejadian berlaku apabila motosikal Yamaha Y16ZR ditunggang mangsa berusia 38 tahun dari arah Kulai menghala Kota Tinggi melanggar bahagian belakang motosikal Suzuki Smash Revo yang ditunggang lelaki warganegara asing berusia 34 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum digilis motosikal Honda RS150 yang ditunggang lelaki tempatan berusia 32 tahun dari arah sama yang tidak sempat mengelak. Mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat, manakala penunggang Suzuki Smash Revo dan Honda RS150 turut menerima rawatan di hospital sama.

Menurut Yusof, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya demi keselamatan bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan