JOHOR BAHRU, 9 Ogos (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Projek Bangsa Johor Bahagia (BJB) 2.0 di Flat Hijau, Taman Plentong Utama, di sini hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan isteri Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor serta Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman dan isteri Datin Halimah Mohamed Rasip.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor serta Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Kelab Suka Belajar sebelum meluangkan masa meninjau bilik kelab berkenaan dan menyantuni kanak-kanak di situ.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima taklimat mengenai aktiviti BJB 2.0 daripada wakil UTM, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), serta sembah ucapan daripada wakil penduduk Flat Taman Plentong Utama.
Seorang penduduk, Izwani Md Noor, 38, menzahirkan rasa bersyukur kerana Projek BJB 2.0 membuka peluang kepada komuniti untuk membuat perubahan.
“Program Bangsa Johor Bahagia ini benar-benar membuka mata dan hati kami. Ia memberikan nafas baharu kepada komuniti – dari segi peluang, ilmu, kesedaran dan sokongan. Kami rasa dihargai oleh pihak Istana, Kerajaan Negeri dan UTM yang sentiasa membimbing kami,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM1 juta daripada Kerajaan Johor kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bagi Projek BJB 2.0 dan cek cura sumbangan sebanyak RM10,000 setiap satu kepada dua sekolah di bawah program Johor Stars Go Global yayasan itu.
Sebelum berangkat pulang, Raja Zarith Sofiah berkenan beramah mesra dan bergambar bersama penduduk setempat.
Projek BJB merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, yang mula dilaksanakan di Rumah Pangsa Kangkar Pulai sejak 2019.
-- BERNAMA