IPOH, 9 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan tiga warga tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport 1966 dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrian Kanthan, Chemor, dekat sini Rabu lepas.
Pengarah JIM Perak, Datuk James Lee berkata serbuan menerusi Op Serkap pada 1.25 tengah hari itu dilaksanakan bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Bahagian Penguatkuasaan JIM Perak.
“Ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita ditahan hasil risikan dan maklumat yang diperoleh pihak kami. Operasi yang berakhir pada 8 malam itu melibatkan 12 pegawai imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
James berkata kesemua individu berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12A Akta Pasport 1966.
"Mereka disiasat kerana dengan niat untuk memperoleh pasport, dokumen perjalanan dalaman, pengesahan atau visa atas nama orang lain, secara sedar membuat kenyataan palsu atau menghasilkan dokumen yang diketahui palsu.
"Selain itu, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966 iaitu bersengaja menolong seseorang melanggar peruntukan undang-undang di bawah akta ini," katanya.
--BERNAMA