AM

JALUR GEMILANG BUKAN SEKADAR KAIN BERWARNA, LAMBANG MARUAH NEGARA

10/08/2025 12:30 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Sebarang perasaan tidak suka atau tidak puas hati terhadap negara bukan lesen untuk membolehkan seseorang itu menghina bendera kebangsaan. 

Pakar Perundangan dan Perlembagaan Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz berkata kesedaran rakyat terhadap penggunaan Jalur Gemilang secara betul dan beretika perlu diperkasakan bagi memelihara maruah serta kedaulatan negara.

Beliau berkata generasi dewasa perlu menjadi teladan kepada anak muda kerana sebagai mana pepatah 'bapak borek, anak rintik', amalan penggunaan bendera dengan betul akan menjadi contoh dan warisan untuk diikuti.

“Beberapa tahun kebelakangan ini kita lihat pelbagai kesalahan dilakukan oleh rakyat kita sendiri tentang penggunaan bendera ataupun dalam memasang Jalur Gemilang, contohnya secara terbalik, menggelapkan warna bendera, tanpa bulan sabit, bucu bintang tidak cukup dan sebagainya.

“Apabila berlakunya kesalahan dalam penggunaan bendera ini ataupun dalam memasang bendera, ia  memberikan gambaran terhadap jati diri rakyat Malaysia itu sendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Shamrahayu berkata penggunaan atau pemasangan bendera secara tidak wajar bukan sahaja mencemar imej negara malah boleh menjatuhkan maruah bangsa. 

Walaupun tiada peruntukan khusus dalam Perlembagaan berkaitan simbol kenegaraan, beliau berkata garis panduan kerajaan mengenai bendera perlu diuar-uarkan dan jika kesalahan kerap berlaku, ia boleh digariskan berasaskan Rukun Negara dan Perlembagaan.

“Sekiranya kita dapati kesalahan berkaitan bendera dan simbol negara ini sering berlaku, mungkin kita boleh membuat satu garis panduan berdasarkan kepada Rukun Negara dan Perlembagaan untuk dikaitkan dengan penggunaan yang seharusnya dan wajar bagi bendera atau Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau berkata Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna tetapi lambang kedaulatan dan identiti negara yang memerlukan rakyat memahami makna di sebalik setiap warna dan simbol yang ada, serta mengibarkannya sebagai tanda kebanggaan bukan hanya ketika sambutan kemerdekaan.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Novel Lyndon berpendapat sikap rakyat dalam mengibarkan bendera mencerminkan tahap penghormatan dan kecintaan mereka terhadap negara.

“Perbuatan mengibar Jalur Gemilang adalah simbol semangat patriotisme yang menghargai jasa pejuang kemerdekaan dan sejarah pembinaan negara bangsa yang berdaulat,” katanya.

Sebab itu, beliau berkata tindakan memasang bendera yang lusuh, koyak atau tidak mengikut peraturan memberi gambaran bahawa sesetengah rakyat kurang peka terhadap simbol kenegaraan sekali gus menjejaskan imej negara di mata masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata keadaan itu berpotensi melemahkan jati diri bangsa dan mengikis semangat patriotik dalam kalangan generasi muda. 

Sehubungan itu, Novel mencadangkan agar pendidikan patriotik diperkukuh sejak peringkat sekolah melalui pengajaran sejarah dan sivik manakala media massa, program komuniti dan sambutan Bulan Kebangsaan dijadikan platform untuk menyemai kesedaran cinta pada negara.

“Tanpa kesedaran ini, bendera hanya akan dilihat sebagai sehelai kain, bukan lagi simbol maruah, kebanggaan dan semangat perjuangan sebuah negara merdeka,” tegas beliau.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan