AM

PROGRAM KHIDMAT BANTUAN KPWK DIPERLUAS KE SELURUH SARAWAK

10/08/2025 06:44 PM

SIBU, 10 Ogos (Bernama) -- Program khidmat bantuan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak bersama rakan strategik, akan diperluas ke 13 zon di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pelaksanaan pada peringkat zon tengah yang melibatkan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak, merupakan program perintis.

“Kita merancang menjalankan program Outreach di 13 zon seluruh Sarawak. Tiada kawasan terpinggir dan program akan diubah suai mengikut kesesuaian. Jika diadakan di satu kawasan sahaja, skala pelaksanaan diperkecil,” katanya ketika merasmikan program itu di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.

Fatimah berkata program bertema “Kamek Prihatin, Kitak Penting” (Kami Prihatin, Anda Penting) itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, dengan penyertaan 25 rakan strategik.

Beliau berkata program itu bertujuan memastikan perancangan, dasar serta inisiatif kerajaan negeri dapat disampaikan kepada pemimpin akar umbi dan wanita, ketua kaum atau masyarakat untuk dikongsikan dengan penduduk dan orang ramai.

Beliau menegaskan banyak inisiatif termasuk program memajukan ekonomi Sarawak dan meningkatkan kesejahteraan rakyat telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Selain itu, peningkatan hasil pendapatan negeri juga dikembalikan kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan