DUNIA

SISTEM PENSIJILAN TANDAS AWAM DI JEPUN BANTU PELANCONG

11/08/2025 05:33 PM

MAEBASHI (Jepun), 11 Ogos (Bernama-Kyodo) -- Sistem pensijilan kualiti tandas awam di sebuah wilayah di timur Jepun bagi meningkatkan tahap kebersihan dan memberi keyakinan kepada pelancong mendapat pujian serta mempengaruhi wilayah lain di negara itu, lapor Agensi Berita Kyodo.

Sistem akreditasi tandas awam di wilayah Gunma bermula pada 2003, dengan 259 tandas memenuhi piawaian pensijilan setakat 2024.

Kemudahan itu dinilai berdasarkan kebersihan, keselamatan, kemudahan penggunaan dan faktor lain dengan kira-kira 25 kriteria, manakala tandas yang disahkan akan dipasang plak memaparkan maskot wilayah itu, Gunmachan.

Hisako Kobayashi, yang bertanggungjawab membersihkan tandas di Taman Kannonyama di Takasaki dengan memiliki tujuh pensijilan, menyifatkan kejayaan itu hasil penyelenggaraan harian yang konsisten.

“Kami berusaha keras memastikan pengunjung berasa selesa menggunakannya,” kata Kobayashi.

Pegawai pemeriksa daripada organisasi itu, Kaori Hasegawa berkata terdapat kes individu kelainan upaya memilih destinasi pelancongan mereka berdasarkan ketersediaan tandas awam yang diperakui.

Semua tandas yang mendapat pengiktirafan akan menjalani pemeriksaan mengejut dan pembaharuan pensijilan setiap dua tahun.

Sistem itu turut memberi inspirasi kepada wilayah lain di Jepun termasuk wilayah Kochi di barat yang melaksanakannya mulai 2012 dan wilayah Nagano di tengah Jepun sejak 2014.

“Tandas adalah sebahagian daripada semangat hospitaliti,” kata seorang pegawai Nagano mengenai skim itu.

Pengerusi Persatuan Tandas Jepun, Kohei Yamamoto memuji inisiatif wilayah Gunma sebagai “pendekatan progresif yang hebat dengan kriteria terperinci” sambil berharap ia dapat menjadi rujukan bagi perkhidmatan tandas di seluruh negara.

-- BERNAMA-KYODO

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan