EKONOMI

REDBUS PERLUAS SISTEM TIKET DIGITAL KEPADA PENGENDALI BAS DI KAWASAN PENDALAMAN

11/08/2025 06:29 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Platform tiket bas dalam talian, redBus Malaysia dikendalikan oleh Ibibo Group Sdn Bhd, memperluaskan sistem operasi dan tiket digitalnya kepada pengendali bas di kawasan pendalaman untuk meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) redBus Prakash Sangam berkata inisiatif itu memberi tumpuan kepada kawasan seperti Jerantut dan Pekan di Pahang; Lenggong dan Pasir Tumboh di Perak dan Jeli serta Jelawat di Kelantan, pengusaha di sana masih di peringkat awal dalam penggunaan peralatan digital.

“Kami sedang mendigitalkan operasi bas walaupun di kawasan pendalaman dan mengendalikan sistem penilaian dan ulasan yang membantu pengembara untuk membuat pilihan termaklum, pada masa sama memberikan maklum balas kepada pengendali bas untuk menambah baik perkhidmatan mereka.

"redBus telah menjadikannya lebih mudah untuk pengembara dengan menyepadukan sistem kami dengan terminal bas untuk membolehkan pas perjalanan digital," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama,

Prakash yang menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif redBus sejak Jun 2014 berkata pelancongan domestik menawarkan potensi pertumbuhan ketara dengan lebih ramai rakyat Malaysia melancong ke destinasi merangkumi bandar pesisir pantai dan kawasan tanah tinggi, perkhidmatan bas kekal sebagai mod pengangkutan yang penting di laluan tersebut.

“Kami melihat peluang untuk mengatur laluan ini dengan lebih baik dan memperkenalkan pilihan perjalanan digabungkan melalui perkhidmatan ‘Things to Do’ disediakan melalui aplikasi redBus, ia membolehkan pengembara menggunakan tiket bas untuk ke kawasan tarikan, aktiviti atau menikmati suasana setempat,” katanya.

Aplikasi redBus turut menawarkan "Peta Makanan Malaysia" (Malaysia Food Map), dilancarkan bulan lepas sebagai panduan digital dengan menampilkan lebih 160 kedai makan berdasarkan maklumat diberi orang ramai di seluruh negara.

“Dengan pelancongan kulinari (makanan) mendapat momentum, perbelanjaan pengembara di Malaysia meningkat sebanyak 43 peratus pada 2024 berbanding 2023, makanan dan minuman (F&B) muncul sebagai kategori perbelanjaan teratas, mencatat pertumbuhan 52 peratus.

"Oleh itu, inisiatif itu memanfaatkannya untuk mempromosikan kawasan serantau dengan menyokong pelancongan tempatan dan perniagaan F&B kecil terutamanya di bandar-bandar yang sering “terlepas pandang” oleh pemandu pelancongan," kata Prakash.

Beliau menekankan bahawa redBus, platform tempahan tiket bas dalam talian terbesar di dunia telah menjadikan Malaysia pasaran terbesarnya di luar India, pertumbuhan itu disokong oleh lebih 200 perkongsian pengendali yang ditubuhkan sejak berdekad lalu.

Prakash berkata selain Malaysia, Indonesia kekal sebagai pasaran utama manakala Vietnam dan Kemboja, negara yang redBus mula beroperasi pada 2024 telah mencatatkan permintaan menggalakkan.

"Khususnya Vietnam...negara berkenaan merekodkan peningkatan permintaan perjalanan (mengembara), didorong oleh pengguna lebih muda, pengguna digital dan pelancong antarabangsa yang kembali mengembara," katanya.

Prakash berkata Asia Tenggara adalah pusat kepada strategi pengembangan antarabangsa redBus.

“Rantau ini adalah menarik kerana bersatu padu dalam kepelbagaian dengan peningkatan keperluan mobiliti, peningkatan penembusan telefon pintar dan lonjakan dalam permintaan untuk perjalanan bajet (mampu milik).

“Memandangkan negara di rantau ini terus mengutamakan pendigitalan pengangkutan dan ketersambungan serantau, redBus berada pada kedudukan terbaik untuk berkembang bersama mereka (sektor pengangkutan), bukan hanya sebagai platform tiket tetapi sebagai rakan kongsi perjalanan dipercayai,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan