PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Ketua Penasihat Bangladesh Dr Muhammad Yunus yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.
Beliau yang tiba pada 9 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Yunus kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Major Arifudin Mohd Yusof
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Selepas itu, Yunus menandatangani buku pelawat sebelum meneruskan mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Kedua-dua pemimpin dijangka meneliti kemajuan hubungan Malaysia–Bangladesh, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pelancongan serta pertahanan.
Perbincangan turut merangkumi perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Anwar dan Yunus akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, tenaga, kajian strategik dan antarabangsa, pembangunan kapasiti dalam bidang semikonduktor serta promosi perdagangan.
Yunus turut dijadual menyampaikan syarahan umum pada esok dan akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penerima Hadiah Nobel Keamanan itu juga dijadual menghadiri sesi bersama komuniti Yunus Social Business Centre dan rangkaian universiti dalam satu program anjuran bersama UKM.
Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (USD2.92 bilion), meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding 2023.
Bangladesh rakan dagang kedua terbesar dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan. Eksport utama Malaysia ke Bangladesh termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan keluaran kilang.
Lawatan berkenaan dijangka terus memperkukuh hubungan dua hala serta memupuk kerjasama yang lebih erat dalam bidang yang saling menguntungkan, berasaskan asas kukuh yang terjalin sejak hubungan diplomatik diterai pada 1972.
-- BERNAMA