Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pengeluar motosikal nasional, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) melakar hala tuju pertumbuhannya yang berwawasan menerusi rancangan mengembangkan lagi barisan kemudahan pemasangan, memacu eksport dan meningkatkan kapasiti pengeluarannya.
Lebih menarik lagi, aspirasi itu adalah sebahagian daripada usaha bagi meraikan ulang tahun operasinya selama tiga dekad.
Berkongsi perinciannya dengan Bernama baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Roskan berkata syarikat itu memulakan kehadirannya di pasaran dengan motosikal ikonik jenis kapcai iaitu Kriss 110 pada 1996.
Syarikat itu seterusnya berkembang kepada pengeluar kenderaan dua roda dan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dan bersandarkan aspirasi global, terutama selepas peningkatan ekuiti oleh Kawasaki Heavy Industries (KHI) dari Jepun pada 2019.
“Menerusi pegangan kepentingan Kawasaki sebanyak 30 peratus dalam Modenas, kami menjadi pengedar dan pemasang tunggal motosikal Kawasaki di Malaysia.
“Ini hanya meningkatkan lagi kemampuan pengeluaran dan membolehkan kami menembusi pasaran baharu,” katanya.
DRB-Hicom Bhd menguasai 70 peratus kepentingan dalam Modenas manakala baki selebihnya dipegang oleh KHI.
Mengulas selanjutnya, Roslan berkata selepas penangguhan berikutan pandemik COVID-19, Modenas kembali memulakan hala tuju baharu perniagaan pada 2022.
Sejak itu, katanya, jualan motosikal Kawasaki menerusi Modenas meningkat tiga kali manakala portfolio produknya turut mencatat pertumbuhan yang ketara.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos, 2025, Modenas telah melancarkan masing-masing lima model di bawah jenamanya, tujuh model di bawah jenama Kawasaki serta satu di bawah jenama Kymco.
Untuk tempoh berbaki tahun ini, Roslan berkata sebanyak lima lagi model akan dilancarkan dengan butiran jenis dan jenamanya akan dimaklumkan kemudian.
Peningkatan Eksport, Model Baharu
Modenas mengeksport kenderaan ATV keluarannya ke pasaran utama ASEAN seperti Filipina, Thailand dan Indonesia.
Pada masa ini, barisan skuter dan motosikal kapcainya dieksport terutamanya ke pasaran Filipina manakala motosikal berkuasa (cc) lebih besar menerusi kerjasamanya dengan Kawasaki, dieksport ke China dan Timur Tengah.
“Kami mempunyai perancangan besar untuk menjadikan semula eksport sebagai teras perniagaan. Sehubungan itu, pada masa ini, kami sedang meneliti untuk mengeksport model Modenas ke Indonesia, Turkiye dan Greece.
“Sebelum ini, kami menghentikan eksport itu pada 2017-2018 berikutan isu peraturan pematuhan. Namun kini, dengan sokongan Kawasaki, kami bersedia untuk kembali dengan lebih kuat,” kata Roslan.
Kilang syarikat di Gurun, Kedah, yang beroperasi dengan tenaga kerja tempatan seramai lebih 600 orang, kini mempunyai kapasiti pengeluaran melebihi 130,000 unit setahun berdasarkan satu syif operasi -- jumlah yang boleh ditingkatkan dengan mudah, katanya.
“Kami menyasarkan untuk menghasilkan kira-kira 100,000 motosikal menjelang 2026 atau 2027, meningkat antara 30 peratus dan 40 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Kami turut menjangka untuk mencecah 1,000 pekerja pada masa itu berbanding lebih 600 orang pada masa ini,” katanya.
Mempelbagaikan Barisan Produk: Skuter, ATV dan EV
Selain motosikal kapcai tradisionalnya, Modenas kini memperluas barisan produknya dalam kategori skuter, terutamanya dalam kelas 150 cc dan ke atas.
Baru-baru ini, Modenas melancarkan skuter premium Kymco DTX 250 pada Mei 2025 dan skuter maxi AK550 pada Januari 2024, dengan kerjasama Kymco yang berpangkalan di Taiwan.
Modenas, melalui anak syarikatnya, Edaran Modenas Sdn Bhd telah menjadi pengedar eksklusif motosikal Kymco dari Taiwan, terutamanya skuter di Malaysia, sejak 2016.
Syarikat itu turut melancarkan dua model ATV untuk pasaran ASEAN dengan yang ketiga dirancang pada akhir tahun ini.
Menyentuh kenderaan elektrik (EV), katanya, Modenas kini mengendalikan satu barisan pengeluaran EV dan menghasilkan dua model motosikal elektrik, dengan perancangan untuk meningkatkannya kepada tiga model pada tahun ini dan daripada lima hingga tujuh model dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Roslan berkata Modenas juga optimis secara berhati-hati mengenai motosikal EV berdasarkan harga bahan api di Malaysia yang agak rendah.
“EV menawarkan penyelenggaraan yang lebih rendah dan lebih mesra alam tetapi penggunaan secara meluas mungkin mengambil masa.
“Kami melabur dalam penyelidikan dan pembangunan pada peringkat tempatan serta bekerjasama dengan rakan strategik untuk menambah baik ciri-cirinya dan kemampuan untuk memilikinya,” katanya.
Penyetempatan, Pembangunan Bakat dan Sokongan Industri
Selaras dengan komitmennya terhadap ekosistem perindustrian Malaysia, Modenas merancang untuk mempelawa 30 lagi vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bagi membekalkan bahan dan perkhidmatan, sekali gus memperkukuh usaha penyetempatan.
Syarikat itu juga aktif bekerjasama dengan institusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional, khususnya GiatMara.
Ia telah menubuhkan pusat kecemerlangan industri di Pendang, Kedah dan bekerjasama dalam pembangunan kurikulum dan modul latihan untuk juruteknik masa depan.
Roslan berkata sebanyak empat pusat GiatMara iaitu di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak telah diberi kuasa untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan bagi motosikal Modenas, khususnya model EV yang digunakan oleh Pos Malaysia, yang kini mengendalikan 1,200 motosikal elektrik.
“Setakat ini kami telah melatih 60 juruteknik melalui GiatMara dan kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat selaras dengan pertambahan penggunaan EV,” katanya.
Pada November 2024, Pos Malaysia dan Modenas bekerjasama menyediakan motosikal MEV-1 PRO yang dibuat mengikut tempahan untuk memenuhi keperluan dan permintaan operasi Pos Malaysia bagi perkhidmatan logistik dan penghantaran.
Ini sejajar dengan komitmen Pos Malaysia untuk mengelektrifikasi sepenuhnya armada penghantaran batuan pertama dan akhir menjelang 2030, selaras dengan matlamat sifar bersihnya menjelang 2050.
DRB-Hicom merupakan pemegang saham utama Pos Malaysia dengan pegangan ekuiti sebanyak 53.5 peratus pada masa ini.
Prospek: Sasar Pertumbuhan Dua Digit
Melangkah ke hadapan, Modenas menyasarkan pertumbuhan jualan dua digit setiap tahun, didorong oleh pengembangan barisan modelnya, peningkatan eksport dan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi di kilang Gurun.
“Jumlah volum industri tahun lalu mencatatkan 420,000 unit dengan jenama Modenas, Kymco dan Kawasaki sahaja merangkumi 39,443 unit.
“Dengan inovasi berterusan dan perkongsian strategik, kami menyasarkan untuk mengekalkan momentum ini,” kata beliau.
Roslan berkata Modenas akan terus menghasilkan motosikal berasaskan bahan api, terutamanya model-model kapcai cc yang lebih kecil memandangkan penunggang tempatan masih menggemarinya kerana harganya mampu milik dan mudah digunakan.
“Sempena ulang tahun ke-30 kami, kami kekal komited untuk memperkukuh ekosistem motosikal Malaysia dengan menghasilkan motosikal rekaan tempatan, menyokong PKS tempatan dan memperkasakan bakat tempatan,” tambah beliau.
-- BERNAMA