KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Mengakses pembiayaan iklim antarabangsa perlu dijadikan keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh perlindungan hutan dan memperluas mekanisme konservasi.
Tan Hong Pin (PH-Bakri) berkata langkah itu juga penting untuk memacu agenda ekonomi hijau menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025 (COP30).
Beliau berkata pemerdagangan karbon merupakan instrumen penting untuk menjana dana pemuliharaan, namun kemajuan pelaksanaannya pada peringkat negara masih belum jelas.
“Saya memohon kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai status pelaksanaan pemerdagangan karbon.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada sekumpulan 10 organisasi masyarakat sivil termasuk Greenpeace Malaysia yang menghasilkan memorandum mengandungi lima cadangan utama,” katanya ketika membahaskan usul RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kelima-lima cadangan itu selari dengan strategi RMK13 dalam pengurusan perubahan iklim, pemeliharaan biodiversiti dan pendanaan ekonomi hijau.
-- BERNAMA