EKONOMI

SABAH PEROLEH RUANG PENYERTAAN MENYELURUH DALAM INDUSTRI MINYAK DAN GAS - AZALINA

12/08/2025 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Sabah telah diberikan ruang penyertaan yang lebih menyeluruh dalam rantaian nilai industri minyak dan gas, termasuk melalui penglibatan aktif syarikat milik kerajaan negeri seperti SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) menerusi Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerjasama strategik antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sabah telah diperkukuhkan dengan termeterainya CCA pada 7 Dis, 2021. 

Tambahnya, sehingga suku pertama tahun 2025, sebanyak 326 syarikat berpangkalan di Sabah telah dilesenkan dan didaftarkan sebagai vendor Petronas.

“Lanjutan pemeteraian CCA pada tahun 2021, nilai kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat ini telah meningkat daripada RM613 juta kepada RM2 bilion setakat tahun 2024 – iaitu peningkatan sebanyak 3.3 kali ganda,” kata Azalina. 

Beliau berkata demikian menerusi Jawapan Bagi Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini.

Azalina menjawab soalan Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) yang meminta penjelasan mengenai bila kerajaan dan Petronas akan melaksanakan persetujuan dan perjanjian dengan kerajaan negeri Sabah mengenai pengembalian hak minyak dan gas Sabah serta perkongsian hasilnya.

Katanya, Petronas kekal komited bagi memperkukuh penyertaan Sabah secara progresif dan berstruktur, berasaskan prinsip kebolehlaksanaan teknikal dan terma komersial yang mampan.

“Perkembangan secara menyeluruh ini mencerminkan peningkatan penyertaan dan manfaat komersial yang dinikmati oleh Sabah dalam industri minyak dan gas negara, sejajar dengan kerangka kerjasama yang telah dipersetujui melalui CCA,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan