DUNIA

RINGGIT DITUTUP TINGGI SUSULAN JANGKAAN KADAR FAEDAH DITURUNKAN PADA SEPTEMBER

11/08/2025 07:23 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain hari ini berikutan pasaran yakin Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) September ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menokok kepada 4.2320/2360 berbanding dolar AS daripada 4.2420/2480 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) menyusut 0.03 peratus kepada 98.152 mata.

Bagaimanapun beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan memandangkan pasaran akan menunggu pengumuman Indeks Harga Pengguna AS yang dijadual diumumkan malam esok.

“Ketika ini pasaran dilihat berbelah bahagi memandangkan data AS mula memperlihatkan trend lemah apabila data senarai gaji bukan ladang lebih rendah berbanding jangkaan dan data pada bulan sebelumnya disemak turun dengan ketara,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata isyarat daripada anggota Fed adalah bercampur-campur, menunjukkan bahawa Fed mungkin tidak berkecenderungan untuk menurunkan kadar faedah secara agresif.

Dari sudut yang lain, ada pihak berpendapat bahawa Fed lewat bertindak dalam menyediakan sokongan monetari kepada ekonomi.

Menurutnya semua faktor ini akan terus mempengaruhi sentimen pasaran dan ketidakpastian ini telah menyebabkan pergerakan DXY kekal dalam julat kecil. 

Pada penutupan dagangan, ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama.

Mata wang tempatan naik sedikit berbanding yen kepada 2.8657/8686 daripada 2.8720/8763 semasa ditutup Jumaat lepas dan menokok berbanding euro kepada 4.9269/9316 daripada 4.9381/9451 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6933/6987 daripada 5.7034/7114.

Ringgit turut kukuh berbanding mata wang serantau.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2936/2973 daripada 3.3014/3064 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0569/0769 daripada 13.1173/1419.

Mata wang tempatan menokok kepada 259.9/260.3 berbanding rupiah Indonesia daripada 260.3/260.8 sebelumnya dan meningkat kepada 7.42/7.43 berbanding peso Filipina daripada 7.43/7.44.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan