EKONOMI

MPM TARIK PESERTA MINYAK & GAS GLOBAL DENGAN PELUANG LEMBANGAN BAHARU DI MALAYSIA

11/08/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Malaysia kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan minyak dan gas, dengan badan pentadbir yang menguruskan aset minyak dan gas huluan negara, Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) di bawah Petronas, membuka beberapa lembangan yang berpotensi di dalam negara.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan Petronas Mohd Jukris Abdul Wahab berkata promosi lembangan di Sabah dan Sarawak, serta Langkasuka di bahagian barat Semenanjung Malaysia akan diteruskan susulan minat daripada peserta industri.

“Kami telah menarik peserta utama seperti BP dan syarikat tenaga bersepadu Eni. Eni, secara khususnya, berminat untuk menguji formasi geologi di Malaysia. Jadi, aktiviti cari gali di Malaysia kekal rancak dengan banyak kawasan masih belum diteroka,” katanya semasa Taklimat Pengarang di sini, hari ini.

Beliau berkata MPM sedang berusaha untuk membuka lembangan itu dan menarik pelabur baharu, menjadikan Malaysia destinasi pelaburan huluan yang semakin aktif dan menarik.

“Kita melihat banyak potensi. Contohnya, di Semenanjung Malaysia, kami baru-baru ini membuat beberapa penemuan menarik yang kami namakan Lebah Emas. Ia telah membuka satu plat geologi baharu secara keseluruhan,” katanya.

Petronas, melalui cabang cari gali dan pengeluarannya, Petronas Carigali, telah memulakan kerja penggerudian telaga cari gali baharu di luar pesisir Semenanjung Malaysia, dengan sasaran rizab berpotensi yang belum diterokai berhampiran aset pengeluaran sedia ada.

Telaga itu, Lebah Emas-1, diklasifikasikan sebagai telaga “wildcat” dan terletak dalam Blok PM6/12, di luar pesisir Terengganu, di Laut China Selatan.

Telaga ‘wildcat’ bermaksud yang belum terbukti wujudnya minyak atau dieksploitasi sepenuhnya dan tidak mempunyai rekod pengeluaran kukuh atau telah dieksploitasikan sepenuhnya sebelum itu sebagai tapak pengeluaran minyak dan gas.

Sebagai rekod, MPM telah melancarkan Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2025, yang merangkumi lima blok cari gali dan tiga kluster peluang sumber ditemui (DRO). Perkara itu diumumkan pada Januari 2025.

Syarikat-syarikat kini mempunyai lima blok cari gali untuk diusahakan tahun ini.

Empat daripadanya terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia dan ditawarkan mengikut model terma keuntungan yang dipertingkatkan, manakala satu lagi terletak di luar pesisir Sabah.

MPM memperkenalkan terma itu untuk menggalakkan pelaburan dalam usaha cari gali dan pengeluaran (E&P) di perairan cetek.

Semua kawasan di perairan Sarawak pula kini telah mempunyai kontrak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan