AM

RMK13 : DIGITALISASI PERKASA PERANAN PMKS DEPANI CABARAN EKONOMI

12/08/2025 10:17 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Digitalisasi dilihat sebagai kunci utama untuk terus memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar lebih cekap, berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang, seperti yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Digitalisasi kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan PMKS, khususnya dalam menghadapi cabaran pasaran serta perubahan landskap perniagaan yang pantas.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Mohd Azamanizam Baharon, ketika dihubungi Bernama baru-baru ini, berkata teknologi digital membawa impak besar dalam membantu PMKS menguruskan operasi harian dengan lebih teratur, pantas dan cekap.

“Teknologi digital seperti sistem titik jualan (POS), perakaunan automatik, pengurusan inventori berasaskan awan, dan aplikasi pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) membolehkan PMKS menguruskan operasi harian secara lebih cekap, pantas dan berstruktur,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan platform digital seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop, serta media sosial seperti Instagram dan Facebook membolehkan PMKS memasarkan produk dan perkhidmatan kepada khalayak yang lebih luas tanpa sempadan geografi.

“Ia juga memberi akses kepada data pengguna, trend pasaran dan maklum balas pelanggan yang membantu usahawan menyesuaikan tawaran mereka secara lebih strategik. PMKS kini bukan sahaja bersaing di pasaran tempatan, malah berpeluang menembusi pasaran serantau dan global,” jelas Mohd Azamanizam.

Ditanya bagaimana digitalisasi boleh mengurangkan kos operasi perniagaan, beliau menjelaskan ia membolehkan automasi tugasan, pengurangan kos buruh, pengurusan logistik yang lebih efisien serta pemantauan inventori secara optimum.

“Sebagai contoh, penggunaan perisian invois digital dan e-pembayaran menjimatkan masa serta kos pencetakan, penghantaran dan pengurusan tunai secara tradisional.

“Selain itu, pelaburan dalam teknologi seperti pemasaran digital jauh lebih kos efektif berbanding iklan tradisional. PMKS juga boleh menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data untuk meramal permintaan pasaran serta mengelakkan pembaziran sumber,” katanya.

Menurut dokumen RMK13, PMKS mempunyai kedudukan dan peranan signifikan dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi negara, sekali gus merealisasikan sasaran sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Dalam tempoh RMK13, Malaysia turut menyasarkan pewujudan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 lagi dalam bidang ekonomi digital, mencerminkan hala tuju kerajaan yang berlandaskan digitalisasi.

RMK13 turut menumpukan kepada tiga dasar utama, antaranya meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor untuk menaikkan siling, dengan tunjang utamanya pendigitalan dan teknologi termaju, terutama AI.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin berkata transformasi digital adalah pemacu utama kepada kemajuan PMKS.

Katanya penggunaan teknologi berasaskan pengkomputeran awan dan AI membolehkan PMKS mengakses medium digital canggih tanpa perlu menanggung perbelanjaan modal yang tinggi.

“Dengan penyelesaian berasaskan awan, PMKS dapat menggunakan alat canggih tanpa mengeluarkan belanja besar. Dengan hanya langganan, mereka dapat meningkatkan operasi perniagaan dengan lebih pantas dan efektif, contohnya e-invois,” katanya.

RMK13 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 31 Julai lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan