EKONOMI

PERTUMBUHAN KDNK MALAYSIA BAGI SUKU KEDUA 2025 DIUNJURKAN PADA 4.3 PERATUS - PENYELIDIKAN

12/08/2025 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2025 diunjurkan pada kadar 4.3 peratus, didorong oleh pemulihan sektor pertanian serta pengembangan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Unjuran itu adalah sedikit rendah daripada unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran konsensus median pada 4.5 peratus.

HLIB menjelaskan dari segi permintaan, pertumbuhan dijangka dipacu terutamanya oleh penggunaan swasta, manakala duti import yang tidak menentu dijangka menyumbang secara positif kepada KDNK.

“Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada kadar 4.0 peratus, sementara menunggu data penuh KDNK suku kedua 2025 yang akan diumumkan pada 15 Ogos,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

HLIB menjelaskan pertumbuhan akan disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, kestabilan guna tenaga, kenaikan gaji, sokongan oleh langkah fiskal termasuk pemberian tunai sekali bayar sebanyak RM100 kepada semua golongan dewasa untuk digunakan dari 31 Ogos hingga 31 Dis, 2025.

Bank pelaburan itu menyatakan berasaskan andaian bahawa keseluruhan jumlah pemberian tunai tersebut dibelanjakan, perbelanjaan yang dianggarkan sebanyak RM2 bilion akan meningkatkan penggunaan swasta sebanyak 0.2 mata peratusan.

“Bagaimanapun, risiko penurunan pertumbuhan masih wujud, berpunca daripada cabaran perdagangan global dan ketidaktentuan dasar,” tambahnya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd turut mengunjurkan KDNK Malaysia bagi suku kedua 2025 pada kadar 4.3 peratus.

Unjuran itu mencerminkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan, prestasi sektor pembuatan dan pertanian yang lebih kukuh serta penguncupan yang lebih kecil bagi sektor perlombongan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan