KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memperhalusi tanggungjawab penyelenggaraan pokok di jalan Persekutuan dan negeri, khususnya selepas keputusan mahkamah yang mengalihkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata ketika ini KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan mempunyai peruntukan di bawah projek pembangunan BP1, namun ia terhad kepada skop berkaitan sosial ekonomi, infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan.
“Skop projek infrastruktur itu adalah meliputi kepada berkaitan membina dan menaik taraf jalan raya, laluan yang berkait dengan kawasan PBT. Kementerian dalam usaha mendapatkan perbincangan bersama dengan JKR supaya perkara ini dapat diperhalusi.
“Di peringkat negeri pula, kementerian memang menggalakkan PBT untuk mendapatkan peruntukan daripada penyelenggaraan tahunan jalan raya khususnya melalui Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkaitan usaha KPKT mendapatkan peruntukan tambahan untuk menyelenggara pokok yang berada di jalan Persekutuan dan negeri terutama selepas keputusan mahkamah itu.
Pada 19 Mac lepas, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) perlu membayar ganti rugi sebanyak RM216,949 kepada seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan susulan insiden pokok tumbang di Jalan Persekutuan Seremban, tujuh tahun lepas.
Aiman Athirah turut memaklumkan KPKT mengambil pendekatan inklusif dalam membantu PBT mengekang insiden pokok tumbang, antaranya melaksanakan pemeriksaan berkala bagi menentukan tahap penjagaan dan risiko pokok, selain memastikan setiap PBT mempunyai sekurang-kurangnya seorang arborist melalui kursus pentauliahan.
“Kerjasama secara bersepadu dan konsensus antara PBT dan JKR negeri atau daerah yang berkenaan di peringkat Jawatankuasa Tindakan Negeri (JTN) atau Jawatankuasa Tindakan Daerah (JTD) demi memastikan isu pokok dapat diselesaikan secara sistematik dan berkesan merangkumi rizab jalan Persekutuan dalam kawasan pentadbiran PBT,” katanya.
-- BERNAMA