KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- ASEAN perlu memastikan kemakmuran yang dicapai hasil daripada pembandaran pesat dikongsi secara saksama dalam kalangan masyarakat dan tidak diperoleh dengan mengorbankan golongan rentan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata kawasan bandar di ASEAN kini dihuni oleh lebih 370 juta orang, menyumbang 70 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau dan memacu ekonomi bernilai USD3.8 trilion pada tahun lepas dan menjelang 2050, dianggarkan tujuh daripada 10 penduduk ASEAN akan tinggal di bandar, menjadikan pusat-pusat bandar pemacu utama pertumbuhan serantau.
“Bagaimanapun, kemakmuran ini masih belum dinikmati secara adil. Kita masih menyaksikan pencakar langit yang berdiri megah, namun bayangnya menutupi penempatan setinggan, dan infrastruktur pula digunakan melebihi keupayaannya.
“Seiring ASEAN menuju menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, kita perlu memastikan pembandaran memberi manfaat bukan sahaja dari segi pertumbuhan, tetapi juga keadilan dan peluang untuk semua,” katanya.
Fadillah berkata demikian dalam ucaptama pada majlis perasmian Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF) 2025, Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti dan Perhubungan Korporat Nararya Sanggramawijaya Soeprapto.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama serantau, memacu integrasi ekonomi serta memelihara keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara demi kepentingan komuniti rantau ini.
Beliau berkata pembandaran perlu menjadi pemangkin kepada perpaduan, di samping menggesa penyelesaian segera bagi menangani cabaran seperti kekurangan perumahan, kesesakan mobiliti dan risiko iklim termasuk banjir berulang, jerebu serta jalan raya yang mendap.
"Keterangkuman bermaksud tiada siapa yang akan tercicir. Wanita, belia, warga emas dan golongan kurang upaya mesti diberi peluang bersuara dalam pembentukan bandar masa depan kita,” katanya sambil menambah bahawa pengangkutan yang mudah diakses, perumahan mampu milik dan kesalinghubungan digital bagi migran luar bandar amat penting.
Mengenai kelestarian, Fadillah berkata ia bukanlah pilihan tetapi sesuatu yang penting untuk kelangsungan hidup, dengan menekankan ancaman seperti paras laut yang meningkat di Delta Mekong, Vietnam serta gelombang haba yang semakin melampau di seluruh rantau ini.
-- LAGI
FADILLAH-ASEAN (PEMBANDARAN) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Memuji inovasi ASEAN yang terbukti dalam menangani krisis iklim, Fadillah berkata standard bangunan hijau Singapura dan peralihan tenaga boleh diperbaharui Indonesia, tadbir urus digital Bandung dan pengurusan air pintar Brunei, selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta menghormati kepelbagaian ASEAN.
Fadillah turut menekankan peranan datuk bandar dan pihak berkuasa tempatan sebagai “arkitek utama” dalam transformasi ASEAN, di samping menggesa mereka diberi kedudukan penting dalam proses membuat keputusan serantau serta dilengkapi dengan alat canggih seperti perancangan bandar berasaskan kecerdasan buatan (AI), perkongsian ilmu secara sistematik dan jaringan rentas sempadan yang lebih kukuh.
Forum tiga hari itu yang bermula hari ini dengan tema "Bandar dan Wilayah Masa Hadapan ASEAN: Keterangkuman dan Kemampanan” seiring dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan menggabungkan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN dan Strategi Pembandaran Lestari ASEAN.
-- BERNAMA