KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pelantikan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) tidak memerlukan pewujudan jawatan tetap atau khusus, sebaliknya hanya melibatkan penetapan tanggungjawab kepada seorang pekerja sedia ada.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata perkara itu selaras dengan peruntukan Seksyen 29A, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.
"Dalam perkara ini, kerajaan berpandangan bahawa keperluan tersebut dapat dipenuhi tanpa mewujudkan perjawatan khususnya bagi OSH Coordinator dalam kalangan penjawat awam," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) yang ingin tahu sama ada kementerian berkenaan mempunyai cadangan untuk mewujudkan perjawatan OSH Coordinator di sektor awam selaras dengan perubahan akta itu yang telah ditambah baik.
Abdul Rahman berkata kewajipan melantik OSH Coordinator diperuntukkan di bawah Seksyen 29A Akta 514 dan terpakai kepada semua majikan yang menggajikan lima pekerja termasuk sektor awam.
Tujuan utama pewujudan Seksyen 29A adalah memastikan setiap tempat kerja mempunyai seorang individu yang bertanggungjawab menyelaras hal ehwal KKP.
Selain itu, beliau berkata Penyelaras KKP berperanan membantu majikan memastikan pematuhan terhadap kehendak perundangan berkaitan KKP serta menyelaras pelaksanaan langkah-langkah keselamatan di tempat kerja.
-- BERNAMA