EKONOMI

SME BANK PERKASA 5,735 USAHAWAN PADA SEPARUH PERTAMA 2025, PENINGKATAN 158 PERATUS

11/08/2025 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia (SME Bank) telah memperkasakan seramai 5,735 usahawan pada separuh pertama 2025, peningkatan 158 peratus berbanding 2,225 usahawan dalam tempoh yang sama pada 2024.

SME Bank yang merupakan anak syarikat  Bank Pembangunan Malaysia Bhd berkata pencapaian itu dipacu oleh badan latihan dan pembangunan kapasitinya, Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) yang bertindak sebagai pelaksana utama. 

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata antara program melangkaui pembiayaan yang diamanahkan kepada SME Bank adalah Program Maju Usahawan MADANI yang diperkenalkan bagi memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pembangunan kapasiti bersasar.

“Bermula dari Januari 2025 hingga Mac 2026, program ini disasarkan dapat membantu 3,000 usahawan mikro. Sehingga Jun 2025, seramai 1,632 usahawan telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini, termasuklah PMKS daripada komuniti Bumiputera, belia, kawasan luar bandar, kumpulan B40, Asnaf, warga emas dan golongan kurang upaya.

“Di peringkat serantau, CEDAR turut dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi PMKS dalam Peralihan Hijau, satu pengiktirafan penting di bawah keutamaan ekonomi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025. Ini mencerminkan kepimpinan SME Bank dalam membentuk masa depan yang lebih lestari dan inklusif di peringkat nasional dan serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, SME Bank berkata Program Pembangunan Keusahawanan Halal memberi sokongan kepada lebih 400 peserta sejak dilancarkan pada 2023 manakala Program Pembangunan Kapasiti Vendor telah melibatkan 109 vendor dengan kelulusan insentif berjumlah RM15.87 juta.

“Sehingga 2024, sebanyak 28 peratus daripada vendor tersebut mencatat sekurang-kurangnya 5 peratus peningkatan hasil, menyumbang kepada jumlah pendapatan vendor sebanyak RM1.23 bilion.

“Program Eksport Perniagaan, program intervensi berstruktur yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia telah menjana jualan eksport bernilai RM191.93 juta menerusi penglibatan 98 syarikat dalam lima fasa,” katanya.

Selain itu, SME Bank XCESS, program padanan perniagaan utama SME Bank, terus berfungsi sebagai penghubung PKS Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa, dengan edisi tahun ini,  XCESS 2025 akan berlangsung pada 25 September 2025 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Melengkapkan program ini, SME Bank iTEKAD ISHRAF, program pemerkasaan usahawan Asnaf berstruktur di bawah inisiatif iTEKAD BNM telah mencatatkan impak yang positif sejak diperkenalkan pada 2023 merekodkan peningkatan jualan sebanyak 126 peratus dengan nilai RM19.25 juta. 

Program itu juga telah mewujudkan 182 peluang pekerjaan baharu, membolehkan 314 usahawan mengadaptasi teknologi baharu, serta menghasilkan 224 rangkaian perniagaan.

Pada masa depan, SME Bank berkata ia akan terus memainkan peranan penting dalam memajukan agenda MSME, dengan lebih RM1 bilion inisiatif strategik yang diberi mandat kepada bank tersebut di bawah Belanjawan Negara 2025, termasuk menyediakan sokongan pembiayaan dan luar pembiayaan merentas sektor strategik utama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan