AM

HSK KENDERONG CATAT SEJARAH, DILENGKAPI TAPAK PENDARATAN HELIKOPTER DAN TELAGA TIUB

12/08/2025 03:08 PM

GERIK, 12 Ogos (Bernama) -- Hutan Simpan Kekal (HSK) Kenderong mencatat sejarah apabila menjadi lokasi pertama di Semenanjung yang dilengkapi kemudahan tapak pendaratan helikopter dan telaga tiub bagi memperkukuh kesiapsiagaan pengurusan kebakaran hutan.

Penolong Pengarah (Seksyen Ladang Hutan dan Inovasi) Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) Mohamad Farhan Sukiman berkata projek itu menjadi alternatif, selain bekalan air sungai bagi memadamkan kebakaran hutan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata pembinaan projek itu dilaksanakan pada 7 Ogos tahun lepas dan siap pada 25 September tahun sama di atas tanah seluas 0.2 hektar di kawasan bekas penempatan kayu balak dengan kos pembinaan RM400,000.

“Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyediakan kepakaran geoteknikal untuk pembinaan telaga tiub lengkap dengan pam, struktur pelindung dan sistem keselamatan, manakala JPNPk menyelaras pengurusan lokasi, operasi dan pelaksanaan teknikal di tapak.

“Selain itu, pembinaan tapak pendaratan helikopter oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berhampiran telaga tiub itu memendekkan masa operasi udara daripada 10 minit kepada hanya tiga minit pergi dan balik ke HSK Kenderong, selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terbuka seperti Sungai Perak dan Tasik Banding,” katanya pada sidang media ketika melawat tapak berkenaan di sini hari ini.

Mohamad Farhan berkata inisiatif itu menjadi model kolaborasi rentas agensi berteraskan kepakaran teknikal, perancangan bersepadu dan strategi jangka panjang dalam pengurusan bencana.

“Projek berkenaan dijangka membuka ruang kepada pembangunan infrastruktur lain yang berimpak tinggi demi kelestarian alam sekitar dan keselamatan negara, khususnya di negeri Perak yang kaya dengan kawasan berhutan.

“Projek ini juga hasil kerjasama strategik antara Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Kerajaan Perak melalui JPNPk, JMG serta JBPM Perak di bawah peruntukan Projek Pembinaan Infrastruktur dan Perolehan Kelengkapan Kebakaran Hutan di Negeri Perak (2023-2025),” katanya.

Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata antara cabaran utama operasi pemadaman kebakaran hutan ialah mendapatkan sumber air, terutama di kawasan terpencil dan berbukit.

“Sebelum ini, pasukan penyelamat terpaksa mengangkut air dari pili bomba di kawasan rendah yang memakan masa lebih lama.

“Dengan adanya telaga tiub berhampiran lokasi kebakaran, masalah mendapatkan sumber air boleh dikurangkan dan masa perjalanan menjadi lebih singkat.

“Cabaran kedua ialah perjalanan mendaki ke puncak yang mengambil masa sehingga enam jam. Biasanya, kenderaan hanya sampai ke kaki bukit sebelum anggota meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki,” katanya.

Beliau berkata bantuan Unit Udara JBPM banyak meringankan beban operasi dengan menghantar anggota dan kelengkapan ke kawasan puncak menggunakan helikopter, memanfaatkan kawasan pendaratan yang sedia ada.

“Sebelum ini, sumber air utama diambil dari tasik atau lombong menggunakan peralatan khas dikenali sebagai hellywell, iaitu tangki silinder setinggi kira-kira 20 kaki yang diisi penuh air untuk digunakan bersama bambi bucket helikopter bagi pemadaman udara.

“Kawasan ini sesuai untuk pemasangan hellywell dan telaga tiub, sekali gus memberi kelebihan besar kepada pihak bomba dalam operasi memadam kebakaran hutan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan