EKONOMI

MIHAS 2025 DIJANGKA TARIK LEBIH 45,000 PELAWAT PERDAGANGAN, 2,300 RERUAI DARI 45 NEGARA

12/08/2025 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 dijangka menarik lebih 45,000 pelawat perdagangan dan akan menampilkan 2,300 reruai yang mewakili 45 negara.

Dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 20 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), MIHAS berkembang pesat sejak edisi pertamanya pada 2004 yang menarik 17,254 pelawat dari 42 negara.

Pada 2023, ia meraih pengiktirafan Rekod Dunia Guinness kerana mencatatkan jumlah pelawat perdagangan tertinggi bagi acara perdagangan halal dengan kehadiran seramai 38,566 orang.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MIHAS 2025 akan menampilkan kluster seperti pendidikan, hospitaliti dan pelancongan mesra Islam, teknologi makanan dan pembungkusan, farmaseutikal dan perubatan, francais, seni dan kraf Islam, logistik serta banyak lagi.

“Program Sumber Antarabangsa (INSP) kami kekal sebagai komponen utama dengan menganjurkan pembeli antarabangsa melalui sesi pertemuan perniagaan satu lawan satu yang dijadualkan terlebih dahulu,” katanya dalam ucapan pada sesi jaringan bersama perwakilan asing dan wakil industri di sini hari ini.

INSP memudahkan lebih 7,000 pembeli sejak 2005 dan menjana jualan eksport sebanyak RM2.5 bilion pada 2024.

Bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Reezal Merican berkata, MIHAS 2025 akan menampilkan Pavilion Khas ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi menghargai sumbangan rakan dialog dalam pembangunan halal selain mengukuhkan hubungan perdagangan serta menggalakkan kerjasama rentas sempadan.

Beliau menekankan MIHAS 2025 yang bertemakan “Puncak Kecemerlangan Halal” akan menggunakan platform Perdagangan Digital MADANI (MDT) yang baru dilancarkan.

Sistem yang dipacu kecerdasan buatan (AI) ini mengoptimumkan pemadanan rentas sempadan dan meningkatkan akses global bagi pengeksport halal Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pembeli antarabangsa boleh mengakses platform ini untuk berhubung dengan pembekal Malaysia yang boleh dipercayai dengan MDT memudahkan transaksi tulen selain hubungan perniagaan,” kata Reezal Merican.

Beliau menegaskan Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam ekonomi halal global melalui penguatkuasaan ketat piawaian halal.

“Malaysia merupakan negara pertama yang mendokumentasikan piawaian halal yang kini diikuti oleh negara lain dan di bawah pengawasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), logo halal kami diiktiraf kerana integriti dan piawaian yang mantap.

“Lebih 9,000 syarikat disahkan JAKIM dengan 82 peratus daripadanya merupakan PKS,” kata Reezal Merican sambil menambah tanda dagang Halal Malaysia diiktiraf di hampir 50 negara serta disokong oleh 85 badan pensijilan halal di 47 negara.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan