EKONOMI

MYCC ANJUR KONSULTASI AWAM KEDUA BAGI KAJIAN EKONOMI DIGITAL MINGGU DEPAN

13/08/2025 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan menjalankan konsultasi awam bagi draf laporan akhir Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital pada Selasa depan di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Centre of Excellence di sini.

Menurut MyCC dalam kenyataan, inisiatif strategik ini yang dijalankan di bawah seksyen 11 Akta Persaingan 2010 (Akta 712), merupakan satu perkembangan penting dalam usaha berterusan MyCC untuk memperkukuh amalan persaingan sihat dalam ekosistem digital dinamik negara.

Katanya kajian pasaran menyeluruh ini menilai potensi halangan terhadap persaingan berkesan dalam lima sektor strategik utama, iaitu sistem pengendalian dan pembayaran mudah alih, e-dagang (pasaran runcit), perkhidmatan pengiklanan digital, agensi pelancongan dalam talian serta privasi dan perlindungan data.

“Hasil daripada libat urus meluas bersama pihak berkepentingan, kumpulan fokus, temu bual bersama agensi kerajaan, pemain industri dan persatuan serta maklum balas semasa konsultasi awam bagi Laporan Interim, MyCC telah mengenal pasti isu kritikal berkaitan struktur pasaran, persaingan dan peraturan.

“Penemuan ini telah membentuk rangka cadangan komprehensif yang akan dikemukakan kepada pihak berkuasa kawal selia berkaitan untuk pertimbangan,” katanya. 

MyCC turut menggesa semua pemain industri berkaitan termasuk perniagaan dan persatuan untuk hadir dan menyumbang pandangan pada sesi konsultasi awam ini. 

“Penyertaan adalah percuma dan pihak yang berminat adalah digalakkan untuk mendaftar selewat-lewatnya 18 Ogos 2025 bagi menjamin penyertaan mereka,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.mycc.gov.my atau menghubungi sekretariat, Bahagian Ekonomi Persaingan (BEP) di ced-digitalmr@mycc.gov.my atau di talian +603-3009 3009. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan