KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan cadangan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) iaitu badan khas yang berfungsi menyiasat kemalangan jalan raya di negara ini.
Menteri berkenaan Anthony Loke berkata ini susulan syor dikemukakan pasukan petugas khas yang ditubuhkan kementerian bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan dan kemalangan bas persiaran membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.
"Ini memang sedang dipertimbangkan di peringkat kementerian tetapi untuk menubuhkan satu badan atau agensi baharu bukan mudah, ada banyak proses yang panjang," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai jaminan kerajaan dalam melaksanakan syor pasukan petugas khas, khususnya berkenaan penubuhan MTSB.
Sementara itu, Loke berkata kementerian akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memartabatkan profesion pemandu, termasuk menerusi latihan bagi melahirkan pemandu lebih kompeten dan profesional.
"Kita nak bersama-sama melatih pemandu yang lebih profesional, jadi ada beberapa tindakan daripada kementerian yang nak kita buat untuk menaikkan martabat profesion pemandu ini...kita nak pemandu ini dihormati dan (martabat) dinaikkan,” katanya.
Loke berkata kementerian juga melihat isu kekurangan pemandu bas dan lori di pasaran disebabkan kurang minat dan gaji yang rendah, justeru pihaknya akan berusaha memastikan pemandu dibayar setimpal dengan masa, beban kerja dan risiko yang ditanggung.
“Tetapi, janganlah dianggap sesiapa pun boleh (jadi pemandu), mempunyai rekod jenayah atau rekod tak begitu baik pun diambil. Sekarang ini kita cuba ada pangkalan data untuk melihat adakah mereka mempunyai rekod lampau terutama memandu secara bahaya, itu perlu kita asingkan," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk mewajibkan kenderaan komersial mempunyai dua pemandu pada satu-satu masa di masa akan datang dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan.
-- BERNAMA