KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pemergian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, telah menyatukan rakyat Malaysia merentasi sempadan dan perbezaan, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah berkata sebagai seorang ibu, beliau amat memahami kesedihan yang ditanggung oleh ibu Allahyarham yang hanya mahu melihat anaknya membesar seperti kanak-kanak lain, sihat dan ceria.
“Zara Qairina seperti anak kita semua. Peribadinya sopan, akhlaknya mulia dan merupakan seorang yang berpegang teguh pada ajaran agama. Pemergian Zara Qairina telah menyatukan kita semua merentasi sempadan dan perbezaan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menyatakan keazaman untuk tidak akan berhenti memperjuangkan kes itu sehingga orang yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal bagi menjamin persekitaran yang selamat untuk anak-anak rakyat Malaysia.
“Kita akan terus mengikuti dan memantau dengan rapat perkembangan terkini menerusi pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Peguam Negara kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Nurul Izzah juga menyeru semua pihak untuk terus berdoa, berusaha dan bertawakal agar keadilan serta kebenaran ditegakkan dan roh Zara Qairina ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
-- BERNAMA