KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Jumlah bersih dana yang telah disalurkan kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi membiayai bayaran hutang dan memenuhi komitmen syarikat berjumlah RM42.17 bilion setakat 31 Julai 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian berkata pecahan sumber terdiri daripada RM15.44 bilion daripada dana kementerian dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang disalurkan dalam bentuk pendahuluan pemegang saham atau pinjaman, dan RM26.73 bilion daripada dana hasil pemulihan aset 1MDB.
"Daripada jumlah keseluruhan ini, RM28.93 bilion digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB manakala RM13.24 bilion adalah bagi bayaran faedah serta komitmen syarikat," kata MOF dalam jawapan bertulis dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini.
Kementerian menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) yang meminta penjelasan mengenai jumlah dana awam yang telah berjaya dipulihkan oleh kerajaan sejak 2022 termasuk pemulangan aset berkaitan kes-kes berprofil tinggi seperti 1MDB dan lain-lain.
MOF berkata setakat ini, baki hutang 1MDB melibatkan bayaran prinsipal dan faedah Sukuk Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) sehingga 2039 berjumlah RM9.02 bilion merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4.02 bilion.
Menurutnya sebanyak RM5.35 bilion telah disalurkan kerajaan bagi membiayai prinsipal, faedah hutang dan memenuhi komitmen syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd.
"Kerajaan semasa amat komited dalam meneruskan usaha mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB dan SRC yang telah diseleweng dengan matlamat utama untuk memaksimumkan pulangan bagi melunaskan hutang serta memenuhi komitmen 1MDB dan SRC mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya.
Menurut MOF, sejak penubuhan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset pada Disember 2018, kerajaan telah berjaya mendapatkan kembali dana berjumlah RM29.7 bilion berkaitan 1MDB dan SRC.
Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM10.9 bilion merupakan nilai terkumpul sejak 2022 sehingga 30 Jun 2025.
-- BERNAMA