BANGI, 14 Ogos (Bernama) -- German-Malaysian Institute (GMI) dan Bubbles O2 Sdn Bhd hari ini menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang teknologi digital dan inovasi termasuk melaksanakan projek penyelidikan dan pembangunan bersama dengan potensi harta intelek, sejajar agenda pembangunan negara.
Antara fokus kerjasama strategik itu adalah perkongsian kepakaran teknikal dalam penyediaan prosedur operasi standard (SOP) secara digital menggunakan realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI) di samping melaksanakan projek penyelidikan dan pembangunan bersama dengan potensi harta intelek.
Kerjasama strategik itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara GMI yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Solihin Mohamed Yusoff dan Bubbles 02 Sdn Bhd diwakili Pengerusi Eksekutifnya Arifin Marzuki di sini hari ini.
Pemeteraian MoU itu disaksikan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Zulfikri Osman.
Zulfikri berkata kerjasama itu bukan sahaja akan memberikan impak yang tinggi kepada kedua-dua organisasi malah memberikan sumbangan signifikan kepada sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
“Saya percaya kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri amat penting untuk membangunkan modal insan berkemahiran tinggi. Ini selaras dengan pendekatan pembelajaran di GMI yang menekankan lebih daripada 70 peratus aspek teknikal,” katanya dalam ucapan.
Sementara itu, Zulfikri berkata kerjasama antara GMI dan Bubbles 02 merupakan contoh terbaik sinergi antara sektor pendidikan dan industri bagi memperkasakan modal insan dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan persaingan pasaran kerja global.
“Saya amat yakin inisiatif ini akan meningkatkan kebolehpasaran graduan GMI dan dapat memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan industri negara,” katanya.
Pada majlis itu, Bubbles 02 Sdn Bhd turut menyediakan geran bernilai RM70,000 untuk membiayai projek tahun akhir yang akan dilaksanakan secara kolektif oleh pelajar tahun akhir Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Komputer & Informasi, GMI pada tahun ini.
GMI ditubuhkan pada 1991 hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Jerman bagi menyediakan pendidikan dan latihan teknikal berkualiti tinggi berteraskan piawaian Jerman.
Di pihak Malaysia, MARA merupakan antara rakan pengasas dan pemegang taruh utama GMI.
-- BERNAMA