JENAYAH & MAHKAMAH

ANGGOTA POLIS MAUT, MOTOSIKAL BERGESEL LORI DI JALAN IPOH-BUTTERWORTH

14/08/2025 11:03 PM

IPOH, 14 Ogos (Bernama) -- Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 94 Jalan Ipoh-Butterworth, berhadapan Taman Selinsing Indah dekat Bagan Serai, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata Konstabel Muhammad Hakim Danial Ruhiman, 23, yang berkhidmat di Balai Polis Bagan Serai mengalami kecederaan parah pada bahagian pinggang dan kaki sebelum meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.25 petang daripada orang awam.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah Bagan Serai menghala ke Taiping telah bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah yang sama dan mangsa telah jatuh di atas jalan raya.

“Semasa pegawai penyiasat sampai di tempat kejadian didapati lori berkenaan telah tiada dan orang awam yang berada di sekitar juga tiada maklumat lengkap berkenaan lori tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisam berkata polis sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup dan kamera papan pemuka kenderaan lain bagi membantu siasatan selain mengesan pemandu lori berkenaan. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Nur Hafilah Mohd Ibrahim di talian 019-472 0231,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan