AM

UTEM PERKASA BIDANG TVET AEROANGKASA, LAHIR LEBIH RAMAI SISWAZAH KOMPETEN

15/08/2025 12:00 PM

MELAKA, 15 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam proses memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Aeroangkasa bagi melahirkan lebih ramai siswazah kompeten untuk pasaran kerja dalam bidang berkenaan.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata usaha dilaksanakan dengan sokongan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) yang telah membuka laluan kerjasama strategik bersama industri-industri utama dalam bidang itu.

Beliau berkata kerjasama berkenaan ialah satu lonjakan strategik bagi memastikan UTeM terus dinamik dan menjadi rujukan utama dalam bidang TVET berteknologi tinggi, khususnya aeroangkasa.

"Pada peringkat global, UTeM juga berkolaborasi dengan Moscow Aviation Institute dari Rusia dan kita sedang giat membangunkan kurikulum TVET Aeroangkasa yang relevan, dinamik dan berpaksikan keperluan semasa pasaran kerja global.

"Selain itu, kita juga sedang mengenal pasti sijil-sijil kompetensi khusus yang membolehkan graduan mencapai tahap kemahiran dan pengetahuan yang memenuhi kehendak pasaran industri secara optimum," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata usaha itu bagi memastikan setiap graduan TVET Aerospace UTeM mempunyai kelayakan profesional dan kompetensi teknikal yang diiktiraf sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Katanya, program TVET Aeroangkasa akan ditawarkan sepenuhnya di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri Pembuatan (FTKIP).

Massila berkata usaha memperkasakan bidang TVET Aeroangkasa di universiti itu selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa utama di rantau Asia Tenggara yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi serta ekosistem industri yang kukuh dan berdaya saing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia Prof Shamsul Kamar Abu Samah berkata pihaknya komited memberikan sokongan penuh dalam usaha UTeM membangunkan kurikulum TVET Aeroangkasa yang memenuhi standard dan keperluan industri.

Beliau berkata hal ini termasuk memudah cara hubungan dengan pemain industri utama serta memastikan siswazah yang dilahirkan memiliki kemahiran terkini selaras dengan perkembangan teknologi aeroangkasa global.

"Melalui usaha ini, UTeM bukan sahaja mempersiapkan siswazah yang bersedia menyertai industri aeroangkasa, malah turut menyokong agenda negara memperkukuh ekosistem TVET berteknologi tinggi yang mampu bersaing pada peringkat global," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan