BUTTERWORTH, 16 Ogos (Bernama) -- Polis sedang menyiasat video tular memaparkan kejadian rusuhan membabitkan sekumpulan individu di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang dibuat di Balai Polis Butterworth berhubung insiden itu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pengadu cuba membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat kemalangan dan terbaring di atas jalan. Namun, suspek tiba-tiba bangun, menumbuk pengadu, sebelum mengajak beberapa orang awam bergaduh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati punca kejadian dipercayai kerana suspek mendakwa terdengar perkataan jelik daripada individu tidak dikenali di lokasi kemalangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan polis sedang mengesan suspek terbabit.
Anuar turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan kejadian itu sehingga mengganggu ketenteraman awam, selain menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat menghubungi Sarjan Muhammad Adib Ikmal Sukri di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA