KOTA BHARU, 17 Ogos (Bernama) -- Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3,700 pokok pelbagai jenis dipercayai cuba diseludup ke negara ini selepas menahan sebuah lori di Jalan Rantau Panjang berdekatan Pos Pok Teh Kana di Pasir Mas, Jumaat lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kesemua pokok itu terdiri daripada 2,000 pokok buluh, 1,000 pokok banyan, 500 pokok bonsai bulat serta 200 pokok bunga kertas yang disyaki mempunyai serangga perosak serta penyakit.
"Tiada dokumen berkaitan tanaman hiasan itu ditunjukkan oleh pemandu dan tanaman juga disyaki diseludup dari Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lelaki warga tempatan berumur 26 tahun itu disyaki penghantar tanaman terbabit ke sebuah nurseri.
Kesemua pokok dan lori dianggar bernilai RM870,000 diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167).
-- BERNAMA