FOKUS BERNAMA

EAIC BAHARU: FOKUS TINDAKAN, TEGUHKAN INTEGRITI PENGUATKUASAAN

19/08/2025 11:36 AM


From Nadia Jumri

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)  kini tampil dengan transformasi menyeluruh, mencerminkan komitmen kukuh sebagai badan pemantau bebas yang tegas, telus dan diyakini rakyat.

Pada 8 Ogos lalu, EAIC dijenamakan semula dan memperkenalkan logo baharu yang mengambil inspirasi daripada mata dan kuku harimau, melambangkan iltizam pembaharuan bermula dari dalam, iaitu proses yang telah digerakkan sejak 2024.

Transformasi ini bukan perubahan pada logo atau identiti visual semata-mata, sebaliknya melibatkan anjakan paradigma dalam landskap integriti awam yang kian mencabar dan kompleks.

Memegang prinsip “Reformasi Institusi Memerlukan Keberanian Untuk Berubah”, Pengerusi EAIC Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata perubahan itu juga langkah strategik bagi memperkukuh fungsi pengawasan secara lebih berfokus dan responsif dalam mendepani cabaran penguatkuasaan negara.

 

SIASATAN BERPROFIL TINGGI, HASIL YANG KETARA

Sejak 2024, EAIC melaksanakan pelbagai inisiatif yang memperkukuh keberkesanan pengawasan dalam sektor penguatkuasaan, antaranya penubuhan pasukan petugas khas dalam menyiasat kes berprofil tinggi.

Menurut Ismail, antara kes itu ialah pelupusan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) secara haram di Pelabuhan Klang, Selangor dan Segamat, Johor serta isu penyalahgunaan kuasa dalam pengeluaran visa perubatan.

pic-2

Katanya pasukan petugas khas tersebut dipengerusikan sendiri oleh pesuruhjaya EAIC, menunjukkan komitmen dan dedikasi tertinggi suruhanjaya dalam menyelesaikan kes-kes berkepentingan awam secara telus dan menyeluruh.

“Usaha ini bukan sekadar mengenal pasti kelemahan sistem yang wujud, malah membuahkan syor penambahbaikan yang kini dipantau dengan rapi supaya pelaksanaannya benar-benar memberi impak.

“Kes pelupusan e-sisa secara haram yang berjaya didedahkan menjadi bukti nyata kecekapan pemantauan EAIC dalam membanteras aktiviti yang bukan sahaja mengancam kelestarian alam, malah membahayakan kesihatan rakyat,” katanya kepada Bernama.

Pasukan itu juga ditubuhkan bagi mengenal pasti punca dan langkah pencegahan kematian dalam tahanan, mencerminkan komitmen serius EAIC terhadap hak asasi dan kebertanggungjawaban institusi.

“Inisiatif-inisiatif ini bukan sekadar reaktif, tetapi pemicu dalam pembaharuan menyeluruh prosedur lapangan, menyemai budaya integriti dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan negara,” katanya.

 

REFORMASI INTEGRITI MELALUI KAJIAN DAN SYOR BERASASKAN BUKTI

Menurut Ismail, EAIC juga menjalankan kajian menyeluruh ke atas keberkesanan operasi agensi utama termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja.

“Hasil kajian terhadap APMM dan DOF telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Nasional (JKKTN), sekali gus menunjukkan dapatan EAIC bukan sahaja diberi perhatian serius oleh kerajaan, malah diangkat sebagai input penting dalam proses penggubalan dasar, pemantapan tatakelola dan penambahbaikan prosedur operasi agensi.

pic-3

“Penerimaan ini membuktikan bahawa pendekatan penyelidikan EAIC yang berasaskan bukti dan realiti lapangan mampu menyumbang secara langsung kepada agenda reformasi institusi penguatkuasaan negara,” katanya.

Menurut beliau, syor EAIC kini mula mempengaruhi dasar awam termasuk dalam isu buruh migran, penguatkuasaan rentas sempadan dan konflik hidupan liar.

“Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) disarankan agar mewujudkan mekanisme pemantauan bersepadu berkaitan pengendalian aduan pekerja asing serta penambahbaikan SOP penguatkuasaan berhubung penyalahgunaan visa.

“EAIC juga terlibat aktif dalam menyokong usaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia bagi memperkukuh integriti dalam operasi berkaitan pemburuan haram dan penyeludupan haiwan eksotik,” katanya.

Kesemua ini bukti bahawa EAIC bukan lagi “taring lembik”, tetapi menjadi pemangkin penambahbaikan sistemik di peringkat nasional, tegas Ismail.

 

SISTEM “TRAFFIC LIGHT DAN TRANSFORMASI PENGURUSAN ADUAN

EAIC turut memperkenalkan sistem ‘Traffic Light’, iaitu  mekanisme pemantauan yang menilai status kemajuan siasatan aduan melalui kod warna secara langsung, dari peringkat penerimaan hingga penyelesaian, kata Ismail.

“Sistem ini bukan sahaja membolehkan pengesanan awal terhadap kelewatan, malah mewujudkan budaya pemantauan proaktif yang mendorong setiap pegawai penyiasat mengekalkan prestasi optimum secara konsisten.

pic-4

“Hasilnya, kadar penyelesaian aduan melonjak kepada 99 peratus pada 2024, satu pencapaian luar biasa EAIC dari segi kecekapan, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menyampaikan keadilan kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, EAIC terus memperkemas sistem aduan dengan menambah saluran aduan yang mudah diakses, menambah baik proses semakan siasatan serta memudahkan pelaporan agar lebih sistematik.

“Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Aduan (MJPA) turut dijenamakan semula sebagai langkah strategik untuk memperkukuh akauntabiliti dan kepimpinan dalam pengurusan aduan.

“Dalam inisiatif ini, peranan pesuruhjaya sebagai pengerusi mesyuarat diperkasakan melalui sistem kepengerusian secara bergilir, memastikan setiap mesyuarat mendapat perhatian dan input daripada pimpinan tertinggi EAIC secara langsung,” katanya.

Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) siasatan turut disemak semula, antaranya pengenalan notis hadir di pejabat sebagai pengganti surat panggilan konvensional, memudahkan komunikasi dan mempercepatkan tindakan selanjutnya.

“Pembaharuan ini bertujuan memodenkan proses pengurusan siasatan serta memastikan keselesaan dan kemudahan bagi semua pihak yang terlibat. Ini bukti EAIC bukan sahaja berperanan sebagai pengawal tadbir urus agensi penguatkuasaan, tetapi sebagai pemudah cara yang berjaya mendekati masyarakat secara langsung,” katanya.

Pendekatan bersepadu itu menjadikan EAIC sebagai contoh utama dalam pembaharuan institusi yang efektif dan berdaya saing.

 

KETEGASAN DALAM TINDAKAN SUSULAN

Berhubung kes agensi gagal melaksanakan syor tatatertib, Ismail berkata isu itu akan dibawa terus ke perhatian Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban di peringkat tertinggi.

“KSN memberi mandat kepada EAIC supaya sistem Demerit Performance Evaluation (DEEP) digunakan terhadap ketua jabatan yang gagal mengambil tindakan berdasarkan pengesyoran EAIC ke atas pegawai seliaan mereka yang terlibat salah laku.

pic-5

“Bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara konsisten, EAIC telah mewujudkan sistem pelaporan berkala yang perlu dipatuhi agensi penguatkuasaan bagi melaporkan status pelaksanaan syor dan hasil siasatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata EAIC juga melaksanakan pemantauan susulan secara berkala yang merangkumi sesi maklum balas bersama-sama agensi terlibat untuk menilai keberkesanan pelaksanaan syor tersebut.

“Antara contoh signifikan ialah tindakan ke atas beberapa pegawai penguat kuasa yang disyorkan dikenakan tindakan tatatertib tetapi ditangguhkan tanpa alasan munasabah. EAIC mengemukakan notis peringatan rasmi kepada ketua jabatan terlibat serta melaporkan ketidakpatuhan tersebut ke peringkat kementerian,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail berkata EAIC bercadang mengamalkan prinsip “name and escalate”, iaitu mengenal pasti agensi yang gagal bertindak selain melaporkan perkara tersebut ke peringkat lebih tinggi, termasuk Jemaah Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tata Kelola, Integriti dan Antirasuah.

“EAIC turut memfokuskan usaha pada penyeragaman garis panduan integriti dan audit ke atas mekanisme pengurusan aduan serta tadbir urus dalaman. Pembaharuan juga merangkumi cadangan supaya syor EAIC menjadi mandatori melalui pindaan perundangan,” katanya.

Selain itu, EAIC turut mengukuhkan kerjasama dengan institusi kawal selia lain bagi mewujudkan sistem pemantauan rentas agensi yang lebih bersepadu.

Menyentuh usaha mempertingkat kebertanggungjawaban rentas agensi, EAIC mengusulkan supaya pelaporan dan pemantauan pelaksanaan syor tindakan diselaraskan dengan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sektor awam.

“Ini termasuk pengemukaan syor sistem amaran awal serta garis masa tetap untuk tindakan pentadbiran atau tatatertib susulan oleh agensi terbabit,” jelasnya.

 

PASUKAN PETUGAS KHAS CPI: PERANAN NASIONAL EAIC

Sebagai kemuncak kepada semua inisiatif pembaharuan yang telah digerakkan, pelantikan EAIC sebagai Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh KSN merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap kredibiliti dan komitmennya dalam memacu agenda integriti nasional.

Menurut Ismail, peranan tersebut selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran CPI2033, iaitu berada dalam kelompok 25 negara teratas dunia dari segi persepsi integriti dan antirasuah.

Sejajar dengan tanggungjawab tersebut, EAIC sedang melaksanakan penyelarasan strategik secara berfasa dengan pelbagai agensi penguatkuasaan, berlandaskan penanda aras dan amalan terbaik antarabangsa.

“Fokus utama ialah pengukuhan mekanisme kawal selia, tatakelola dan integriti dalam sistem penguatkuasaan, memandangkan elemen ini merupakan satu daripada domain kritikal yang diambil kira dalam pengiraan skor CPI oleh Transparency International.

“Setakat 2024, Malaysia mencatatkan skor CPI sebanyak 50 dan berada di kedudukan ke-57 daripada 180 negara, iaitu kedudukan sama seperti tahun sebelumnya,” kata Ismail dan menambah peningkatan berperingkat setidak-tidaknya dua mata setahun diperlukan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang 2033.

Dalam hal ini, beliau berkata EAIC komited untuk menerajui pelaksanaan pembaharuan sistemik yang mampu menyumbang secara langsung ke arah peningkatan skor dan persepsi global terhadap integriti sektor penguatkuasaan negara.

Menyentuh prestasi cemerlang EAIC, Ismail berkata di peringkat dalaman, suruhanjaya itu memperoleh Sijil Audit Bersih 2024 daripada Jabatan Audit Negara, iaitu pengiktirafan penting terhadap tahap pematuhan kewangan, kawalan dalaman dan tadbir urus yang mantap.

“EAIC turut menerima Sijil Pematuhan SAGA sebagai bukti pelaksanaan sistem perakaunan yang selaras dengan piawaian perbendaharaan negara,” katanya.

 

KOMUNIKASI DUA HALA DAN SENTUHAN MASYARAKAT

Sejak 2024, program pendidikan dan kesedaran berskala besar anjuran EAIC semakin mendapat perhatian umum. Antara yang menonjol ialah Tayangan Khas Filem Sheriff: Narko Integriti yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama barisan pemimpin negara serta program Tanggungjawab, Akauntabiliti dan Kebolehpercayaan (ERAT) bersempena dengan Ihya Ramadan yang menampilkan selebriti Alif Satar dengan kempennya #GengSubuhMacamJumaat.

Selain itu, program ERAT Quran Hour bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta penganjuran Konvoi Motosikal ERAT Ride dan ERAT Alam Sekitar Bersama yang menyantuni golongan penguat kuasa dan belia di peringkat akar umbi, turut mencerminkan keberhasilan EAIC dalam mendekati dan menyantuni masyarakat secara langsung.

Ismail berpendapat dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik itu, EAIC berjaya mengambil peluang semasa untuk menyampaikan pendidikan integriti secara kreatif dan berkesan, sejajar dengan keperluan masyarakat masa kini.

“Pendekatan inklusif yang diterapkan telah menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang awam, penguat kuasa, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa tempatan.

“Usaha ini secara efektif menangkis persepsi bahawa mesej integriti bersifat kaku dan sukar difahami, sekali gus membuktikan bahawa pendidikan integriti boleh disampaikan bukan sahaja melalui kaedah konvensional, malah melalui pengalaman yang lebih dinamik dan relevan kepada masyarakat,” katanya.

 

PERKUKUH PEMANTAUAN PERTINGKAT LIBAT URUS

Melangkaui tugas siasatan dan pemantauan, EAIC turut memperkukuh pemantauan dasar melalui sesi libat urus strategik bersama-sama agensi penguat kuasa dengan lebih 25 sesi libat urus dasar telah dianjurkan dengan  APMM, JIM, JTKSM dan PDRM sejak tahun lalu hingga kini.

“Sesi ini merangkumi diskusi mendalam terhadap isu-isu berkaitan penguatkuasaan, pertindihan fungsi operasi, keberkesanan tatacara dalaman serta jurang komunikasi antara agensi dan masyarakat.

“Antara pendekatan utama ialah pelaksanaan sesi meja bulat dan bengkel tertutup bersama-sama agensi bagi mengenal pasti punca kelemahan pelaksanaan serta mencadangkan mekanisme pembetulan secara langsung,” kata Ismail.

EAIC turut memberi maklum balas bertulis kepada kementerian dan jabatan bagi memperkukuh kefahaman sektor awam terhadap fungsi pengawasan selain mewujudkan kerangka tanggungjawab bersama dalam memperkasa integriti rentas agensi.

 

MELANGKAH KE DEPAN SEBAGAI INSTITUSI DIPERCAYAI

Tegas Ismail, EAIC kini bukan sekadar bertindak sebagai pengawas tetapi turut tampil selaku peneraju reformasi institusi penguatkuasaan, menggenggam kepercayaan rakyat dengan keberanian untuk menyentuh akar masalah dan mencabar kebiasaan.

“Penjenamaan semula hanyalah langkah pertama dalam perjalanan pembaharuan yang jauh lebih besar dan mendalam. Dengan strategi yang jelas, pelaksanaan yang telus serta sokongan pelbagai pihak - dari agensi penguatkuasaan hinggalah rakyat biasa - EAIC sedang membina satu ekosistem integriti yang hidup dan dinamik,” katanya.

Dalam konteks rakyat yang semakin peka dan kritikal terhadap institusi awam, beliau berkata peranan EAIC sebagai suara bebas dan tegas menjadi semakin penting.

“Keberanian menyatakan kebenaran, bertindak adil dan komitmen terhadap perubahan dalaman merupakan kunci bagi mengangkat semula integriti perkhidmatan awam.

“EAIC akan terus melangkah bukan sebagai penjaga sempadan kuasa tetapi sebagai pencorak masa depan tadbir urus berprinsip, berwibawa dan dipercayai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan