JOHOR BAHRU, 19 Ogos (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar sebuah lori tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menggunakan petrol di depoh simpanan kenderaan, Johor Bahru Waterfront pada 15 Ogos.
Wan Muhammad Nasrul W Ahmad, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.
Bagaimanapun, Thalha menetapkan esok sebagai tarikh keputusan hukuman dan penyerahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api iaitu petrol dengan niat untuk mengakibatkan kebinasaan dengan membakar sebuah lori tunda MBJB hingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM24,000.
Wan Muhammad Nasrul didakwa melakukan perbuatan itu di depoh simpanan kenderaan, Lot 1 Johor Bahru Waterfront pada 15 Ogos, kira-kira pukul 11.07 pagi dan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Navina dan Siti Fatimah Mamu tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan keputusan kes akan ditetapkan esok.
Bagaimanapun Talha membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
-- BERNAMA