FOKUS BERNAMA

KARYA TERJEMAHAN WADAH PERTUKARAN BUDAYA, PERTINGKAT PERSEFAHAMAN KAUM

20/08/2025 02:09 PM


From Soon Li Wei

Karya sastera dilihat memainkan peranan besar dalam memupuk perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia menerusi kemampuannya meningkatkan kefahaman pembaca tentang pelbagai isu, termasuk yang bersangkut budaya dan agama kaum lain.

Malah, pakar menyifatkan usaha meningkatkan persefahaman rakyat berbilang bangsa semakin penting dewasa ini memandangkan hubungan antara kaum dilihat kian tertutup disebabkan oleh segmentasi sosial, politik dan ekonomi.

 Justeru, berpegang pada peribahasa membaca jambatan ilmu, beberapa pihak antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), persatuan dan universiti tempatan serta antarabangsa, berusaha melakukan terjemahan merentasi pelbagai bahasa bagi menggalakkan rakyat meningkatkan pengetahuan tentang masyarakat lain.  

Akan tetapi, menurut pakar, usaha yang dilakukan itu masih belum mencukupi, khususnya melibatkan terjemahan karya berbahasa Cina ke bahasa Melayu dan sebaliknya, kerana tumpuan lebih kepada menterjemahkan karya berbahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan sebaliknya.

Sebagai perbandingan, dalam tempoh 10 tahun hingga 2022, jumlah buku terjemahan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu berjumlah 840 buah, sementara daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris pula sebanyak 131 judul yang dilakukan oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).

Namun hanya 29 karya berbahasa Melayu telah diterjemahkan ke bahasa Mandarin dan 19 buah judul berbahasa Mandarin diterjemahkan ke bahasa Melayu dalam tempoh sama.

pic-2

CABARAN INDUSTRI PENTERJEMAHAN 

Presiden Persatuan Penterjemahan & Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) Lim Chuan Boon berkata pihaknya sentiasa proaktif dalam usaha penterjemahan silang budaya dan penciptaan karya sastera bahasa Cina dan bahasa Melayu sejak persatuan itu ditubuhkan 39 tahun lepas. 

Katanya selain membantu menggalakkan persefahaman dan perpaduan antara pelbagai etnik yang tinggal di negara ini, karya terjemahan juga memperkasa kerjasama Malaysia-China. 

Bagaimanapun katanya penghasilan karya sastera Cina tempatan atau “mahua” moden yang merangkumi puisi, cerpen, drama, prosa berirama dan novel dilihat merosot sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

“Sejak 1960-an hingga sekarang, lebih 600 karya tunggal mahua moden diterbitkan dan diterjemahkan di negara ini, oleh ahli akademik, penterjemah bebas dan persatuan termasuk PERSPEKTIF, namun usaha ke arah itu kian berkurangan sekarang.

"(Ini disebabkan) beban penulis dan penterjemah agak berat di negara ini, tidak kira daripada bahasa Cina ke bahasa Melayu ataupun sebaliknya, (kerana) semuanya diusahakan oleh kaum Cina yang menguasai dwibahasa itu,” katanya kepada Bernama. 

Menurut beliau, bidang terjemahan juga kurang mendapat sambutan dalam kalangan generasi sekarang disebabkan pendapatan tidak setimpal dengan usaha.

pic-3

Dari segi penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda berbangsa Cina, Lim berkata generasi muda pada masa kini lebih condong kepada bahasa Inggeris, terutamanya  dengan pengaruh media sosial yang sudah menjadi darah daging mereka dalam kehidupan seharian. 

"Oleh itu, selain bekerjasama dengan DBP, institusi pendidikan serta persatuan-persatuan penterjemahan untuk menganjurkan bengkel dan simposium penterjemahan bahasa Cina ke Bahasa Melayu ataupun sebaliknya, beberapa universiti tempatan juga turut menawarkan kursus penterjemahan antaranya Universiti Sains Malaysia untuk menggalakkan generasi muda menguasai dwibahasa dan  seterusnya teknik penterjemahan yang betul. 

"Ini sekali gus dapat melahirkan generasi pelapis yang bukan sahaja dapat menjadi jambatan pertukaran dua budaya, malah dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar Cina sebagai bahasa kedua mereka selain bahasa Cina," katanya. 

 

KEWUJUDAN AI 

Dalam era revolusi digital, perubahan menyeluruh dan transformasi meluas dapat dilihat dalam pendekatan pembelajaran bahasa dan penterjemahan menerusi penggemblengan teknologi kecerdasan buatan (AI). 

Selain memudahkan urusan kerja seharian dan menjimatkan masa, teknologi AI juga dilihat mampu menggantikan tenaga manusia dalam beberapa perkara, termasuklah pembelajaran bahasa dan kerja-kerja penterjemahan. 

Maka timbul kegusaran dalam industri penterjemahan di negara ini apabila teknologi AI berkemungkinan menggantikan peranan penterjemah sehinggakan kurangnya sambutan terhadap peluang pekerjaan yang tersedia, ditambah pula pulangan dan pendapatan kurang memberangsangkan. 

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM Dr Boh Phaik Ean berkata pada hakikatnya, AI bukanlah konsep baharu dalam bidang terjemahan kerana teknologi itu telah diperkenalkan pada pertengahan abad ke-20 melalui kajian awal terjemahan mesin. 

"Pada masa itu kemampuan AI masih terbatas, namun potensinya sudah mendapat perhatian para sarjana. 

"Kini, kelebihan AI mendapat tumpuan orang ramai berikutan kemunculan model bahasa besar serta kemajuan dalam pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam yang secara umumnya meningkatkan ketepatan makna dan kelancaran bahasa dalam output terjemahan yang dijana oleh mesin," katanya kepada Bernama. 

pic-4

Boh tidak menafikan hasil terjemahan yang dijana oleh perisian AI sudah berkembang dan lebih baik mutunya berbanding dahulu. 

Namun ini tidak bermakna AI dapat menggantikan tugas seorang penterjemah manusia ataupun menyerahkan tugas-tugas itu kepada mesin AI semata-mata. 

"Penterjemahan bukan semata-mata melibatkan penyalinan semula mesej daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain, tetapi merupakan interaksi antara dua budaya, bangsa dan negara yang berlainan. 

"Terjemahan mesin tidak dapat dijamin ketepatan dan kesempurnaan secara mutlak. Kebergantungan melampau pada AI dalam menghasilkan terjemahan boleh membawa kepada kesilapan berimpak besar, yang berpotensi menyebabkan kerugian kepada sesebuah syarikat atau mencetuskan kontroversi politik di peringkat nasional ataupun antarabangsa, terutamanya jika output yang dihasilkan mengandungi maklumat salah, sensitif atau menyimpang daripada maksud asal," katanya. 

Boh berkata  AI seharusnya dimanfaatkan dengan bijak, cermat dan beretika dengan tidak terlalu mengagung-agungkan kehebatan teknologi itu hingga bergantung sepenuhnya dalam melakukan penterjemahan. 

"Kebergantungan yang tinggi pada peralatan AI akan membinasakan manusia sendiri pada suatu hari nanti. Sekiranya teknologi ini disalahgunakan, maka keaslian, kreativiti, identiti dan suara manusia berisiko lenyap apabila semua kerja digantikan oleh output yang dijana sepenuhnya oleh peralatan AI," katanya. 

 

PELUANG CERAH DALAM PENTERJEMAHAN 

Dalam pada itu, Boh berkata ramai yang memandang rendah ataupun terlepas pandang akan nilai bahasa kebangsaan apabila karya-karya lain diterjemahkan ke bahasa itu yang mungkin bagi mereka kurang mendapat sambutan, seterusnya tidak mempunyai motivasi untuk berkecimpung dalam industri ini. 

“Pada hakikatnya, bahasa Melayu mempunyai ruang yang cukup besar untuk berkembang maju dan diangkat lebih tinggi martabatnya di persada antarabangsa.

“Misalnya, dalam konteks industri terjemahan, permintaan terhadap terjemahan yang melibatkan bahasa Melayu adalah amat tinggi, dan sebenarnya membuka banyak peluang kerja kepada rakyat Malaysia serta meningkatkan pendapatan rakyat dan negara,” katanya. 

Katanya permintaan terhadap dokumen terjemahan daripada bahasa Cina ke bahasa Melayu adalah sangat tinggi, sekali gus menawarkan bayaran yang lumayan kepada si penterjemah.

Sebahagian besar permintaan ini datang daripada syarikat dan agensi terjemahan di China yang berkait rapat dengan status serta kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, katanya.

“Sudah terang lagi bersuluh, bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, malah juga mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi di pasaran antarabangsa, misalnya dalam industri terjemahan,” katanya. 

Beliau berkata usaha penterjemahan ini secara tidak langsung dapat merapatkan jurang bahasa, mengurangkan salah faham serta menggalakkan pertukaran ilmu, pemikiran dan pandangan dunia masing-masing, sekali gus meningkatkan persefahaman dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

 

PERTUKARAN BUDAYA 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan berkata penterjemahan karya-karya berbahasa Cina ke bahasa Melayu ataupun sebaliknya  bukan sahaja dapat meningkatkan penguasaan dwibahasa dalam kalangan masyarakat Cina tetapi turut menggalakkan pemahaman budaya antara kedua-dua kaum tersebut. 

Namun katanya sentuhan manusia terhadap pengolahan budaya serta penghayatan keindahan bahasa dan kesusasteraan ketika melakukan penterjemahan, tidak dapat dihasilkan oleh teknologi AI.

"Kalau kita tidak memahami budaya sasaran bahasa yang hendak diterjemahkan itu, ia mungkin akan menghasilkan terjemahan yang agak lucu dan kadang-kadang ‘mengerikan’.

"Oleh itu, penterjemah memainkan peranan penting sebagai penghubung kepada dua dunia berbeza.. Tugas ini menuntut ketelitian, kepekaan budaya dan penguasaan bahasa mendalam namun AI hanyalah bersifat 'pelantik' yang tidak memahami nuansa bahasa, budaya, metafora, peribahasa dan sebagainya. 

"Jadi kita tidak boleh bergantung pada bantuan AI sepenuhnya dan kami masih memerlukan penterjemah yang memahami bahasa dengan baik antara bahasa sasaran dan bahasa yang dikuasainya," katanya. 

pic-5

Selain itu, penterjemah juga perlu menyampaikan bukan hanya maksud luaran, tetapi juga emosi bernilai dan roh budaya yang terkandung dalam setiap ungkapan. 

"Kerja-kerja penterjemahan ini sebenarnya bukanlah kerja mencari kata-kata, tetapi kerja mencari jiwa yang menghubungkan dunia yang berlainan, sekali gus merapatkan jurang perbezaan dan memahami budaya serta mencetuskan keharmonian antara satu sama lain," katanya. 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan