KOTA BHARU, 25 Ogos (Bernama) -- Enam strategi di bawah Pelan Strategik Universiti Malaysia Kelantan 2026-2030 (UMK30) dirangka bagi memperkukuh peranan institusi itu sebagai peneraju pembangunan insan, inovasi serta jambatan penghubung antara penyelidikan dengan manfaat kepada rakyat.
Naib Canselor UMK Prof Dr Arham Abdullah berkata usaha itu juga sebagai pemacu transformasi masyarakat dan negara sekali gus menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim awal bulan ini.
Beliau berkata enam strategi itu merangkumi pemerkasaan ekosistem keusahawanan desa dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS); pembangunan hab penyelidikan kecerdasan buatan untuk sektor strategik; pemanfaatan lestari sumber alam dan ekonomi biru; serta usaha memacu keterjaminan makanan negara.
"UMK turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan berteraskan nilai MADANI serta agenda pengurusan kemiskinan berimpak lestari melalui pangkalan data bersepadu dan model intervensi komuniti yang lebih fleksibel," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan dasar kerajaan yang menekankan pendigitalan, penyelidikan, daya keusahawanan serta pemuliharaan sumber sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu, termasuk bidang nadir bumi, pelancongan laut dan biodiversiti marin.
Arham berkata strategi itu juga memperkukuh peranan fakulti dan institut penyelidikan UMK seperti Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Fakulti Sains Data dan Komputeran, serta Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan yang menjadi nadi penggerak kepada pelaksanaan RMK-13.
Beliau berkata inisiatif itu akan memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat, antaranya melalui peluang keusahawanan, peningkatan produktiviti pertanian, penyelidikan inovasi lestari, serta pengurangan jurang pendapatan dan kos sara hidup rakyat.
“UMK berpotensi bukan sahaja menjadi 'brains of the nation', malah menjadi rakan strategik kerajaan dalam merealisasikan aspirasi RMK-13 melakar semula pembangunan negara dan membina masyarakat MADANI lebih sejahtera,” katanya.
-- BERNAMA