Oleh Rosemarie Khoo
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Senegal mempelawa syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur dan membentuk perkongsian strategik di negara Afrika Barat itu sebagai sebahagian daripada hasratnya untuk menjadi pintu masuk Malaysia ke Afrika yang memiliki pangkalan pengguna yang besar.
Duta Senegal ke Malaysia Abdoulaye Barro berkata negaranya sedang mengusahakan penglibatan Malaysia dalam sektor-sektor utama seperti produk halal, pertanian, infrastruktur, semikonduktor, ekonomi digital dan pelancongan, sekali gus menekankan komitmennya untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
Beliau berkata Senegal sebagai anggota Kesatuan Ekonomi dan Monetari Afrika Barat (UEMOA), Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) dan Kesatuan Afrika (AU), menyediakan akses pasaran berjumlah 1.4 bilion orang di seluruh benua itu.
Barro berkata dengan memasuki Senegal, Malaysia juga boleh memperoleh akses ke tujuh negara lain yang menggunakan mata wang yang sama iaitu franc CFA Afrika Barat. Negara-negara itu ialah Benin, Burkina Faso, Côte d'Ivoire, Guinea-Bissau, Mali, Niger dan Togo yang membentuk UEMOA.
“Terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat Malaysia di Senegal dan ia bukan sahaja terhad kepada Senegal, tetapi meliputi seluruh blok Afrika yang mempunyai kira-kira 1.4 bilion penduduk. Malaysia berada lebih maju daripada kami dalam pembangunan dan kami berhasrat untuk belajar daripada kejayaannya,” katanya dalam program Bernama TV, The Nation: Diplomatic Dispatch.
Barro berkata Senegal menghargai kepakaran Malaysia dalam kewangan Islam, pengurusan zakat, pendidikan Islam dan ibadah haji memandangkan kira-kira 95 peratus daripada penduduk Senegal beragama Islam.
Beliau berkata Iris Corporation Bhd dari Malaysia sudah bertapak di Senegal dan terlibat dalam penyediaan penyelesaian kad pengenalan domestik dan pasport, satu kerjasama yang mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Duta itu berkata Senegal, dengan landskap politik yang stabil dan populasi muda serta dinamik, menawarkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan. Kerajaan juga sedang melaksanakan inisiatif utama seperti Digital New Deal, yang membayangkan Senegal sebagai peneraju transformasi digital Afrika menjelang 2034 dan Senegal 2050, agenda transformasi nasional untuk mencapai pembangunan inklusif dan mampan.
Bagi mempercepatkan visi itu, Senegal akan menganjurkan edisi kedua Forum Invest in Senegal pada 7-8 Oktober 2025 di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf (CICAD) di Diamniadio, kira-kira 30 kilometer dari ibu kota Dakar. Forum itu dijangka mempamerkan peluang dalam platform perindustrian, pembangunan sektor swasta dan usaha menjadikan Dakar sebagai hab kewangan dan teknologi.
Senegal juga sedang berusaha memformalkan kerjasama dengan Malaysia melalui dua perjanjian yang dijangka ditandatangani pada September ini iaitu Perjanjian Ekonomi, Sosial, Teknikal dan Kebudayaan (ESTCA) dan pakatan mengenai pembangunan wakaf.
“Kami mahu meningkatkan kerjasama Selatan-Selatan dan mewujudkan manfaat bersama dengan Malaysia serta rakan-rakan lain. Kami memerlukan lebih banyak pelaburan dalam bidang pertanian, kesihatan, kereta api, lebuh raya dan ekonomi digital. Malaysia boleh memainkan peranan besar dalam membantu kemajuan Senegal,” tambah Barro.
-- BERNAMA