AM

LEBIH RM20 BILION JAMINAN PEMBIAYAAN SKJP DILULUSKAN SEJAK 2008 - AIMAN ATHIRAH

26/08/2025 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Sebanyak RM20.9 bilion jaminan pembiayaan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) telah diluluskan melibatkan 88,507 permohonan sejak pelaksanaan pelan mitigasi bagi membantu golongan belia memiliki rumah bermula 2008 hingga 31 Mei lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata jumlah dana SJKP juga ditingkatkan sebanyak RM10 bilion tahun ini, menjadikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30 bilion.

“Khusus bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), kerajaan telah menyediakan SJKP dengan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, sama ada rumah baharu atau rumah sedia ada atau lelongan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong berhubung pelan mitigasi kerajaan bagi membantu belia yang berdepan kesukaran memiliki rumah kerana harga yang terlalu tinggi berbanding pendapatan, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara di sini hari ini.

Selain itu, Aiman Athirah berkata pelaksanaan Skim Sewa untuk Beli (RTO) khususnya bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Program Residensi Rakyat (PRR) di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut dilaksanakan di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membolehkan rakyat memiliki rumah mampu milik.

Beliau berkata konsep pembiayaan secara Step-Up Financing, yang menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama dan meningkat secara berperingkat mengikut jadual, turut disediakan untuk membantu golongan belia.

Selain itu, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2.0 dilanjutkan hingga 31 Disember ini bagi memberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pemilikan untuk pembiayaan rumah sehingga RM500,000 kepada pembeli rumah pertama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan