AM

KEMENTERIAN KOMUNIKASI DIJANGKA ADAKAN PERTEMUAN DENGAN META BULAN INI - FAHMI

04/09/2025 02:40 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dijangka mengadakan pertemuan dengan Meta Platforms Inc (Meta) bulan ini susulan peningkatan aduan kandungan penipuan atau scam membabitkan pelbagai platform media sosial kendalian syarikat itu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kandungan bermasalah di platform Facebook dan WhatsApp daripada Polis Diraja Malaysia melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta orang awam.

Katanya setakat semalam, terdapat sekurang-kurangnya 31 akaun palsu yang menyamar sebagai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dikesan di platform media sosial di bawah Meta, dipercayai bagi memperdaya orang ramai.

“Maksudnya dalam Facebook, WhatsApp dan Instagram banyak kandungan scam dan kandungan bermasalah. Sebelum ini, kita terima aduan tentang penjualan cecair vape mengandungi dadah, yang kebanyakannya dilihat dijual di Facebook.

“Oleh kerana kerjasama Meta setakat ini bagi saya sangat tidak meyakinkan, saya telah mengarahkan supaya mereka dijemput untuk satu perbincangan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Meta merupakan pengendali Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Sementara itu, Fahmi berkata aduan mengenai penyalahgunaan platform media sosial bagi tujuan penipuan dan jenayah siber lain semakin meningkat, dan usaha menanganinya sedang giat dilaksanakan di pelbagai peringkat.

“Pada hari ini kita akan bertemu dengan pihak TikTok, dan selepas itu kita akan bertemu dengan pihak Meta. (Pertemuan) kita harap dapat diadakan dalam masa beberapa minggu, jadi sekarang kita sedang menyusunnya,” katanya.

Pada Selasa, Fahmi berkata pihak pengurusan tertinggi platform media sosial TikTok dipanggil ke Bukit Aman hari ini (4 Sept) berikutan kelewatan syarikat itu memberikan kerjasama kepada  Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu penyebaran berita palsu di platform berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia bersedia mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada terhadap platform media sosial yang membenarkan aktiviti jenayah siber.

“Kementerian Komunikasi turut mengambil maklum tindakan kerajaan Singapura yang mengenakan denda sehingga S$1 juta terhadap Meta atas kegagalan melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi menangani jenayah scam di platform mereka.

“Kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap platform yang membenarkan penjenayah, terutama scammer, menyalahgunakan platform mereka untuk memangsakan rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya mendedahkan beliau hampir menjadi mangsa penipuan apabila menerima mesej mencurigakan menerusi WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai seorang bekas Ahli Parlimen.

“Semalam ada seorang kononnya bekas Ahli Parlimen hantar mesej kepada saya dalam WhatsApp, namanya ‘Datuk Seri Hasan Arifin’. Dia mesej saya dan mesej agak kelakar… (mesejnya adalah) Boleh minta bantuan sedikit, saya nak pinjam RM4,400, rupa-rupanya akaun WhatsApp dia telah digodam,” katanya. 

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Julina Johan dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan