AM

TRANSAKSI PENGHARGAAN SARA HARI KEENAM BERJALAN LANCAR, JUMLAH JUALAN RM107.1 JUTA

06/09/2025 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Hari keenam pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM107.1 juta, yang melibatkan 1.7 juta penerima setakat 9.30 malam ini.

Kenyataan Kementerian Kewangan memaklumkan kadar transaksi kekal stabil pada 99 peratus hari ini.

“Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang lima hari lepas telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini.

“Secara keseluruhan sejak pelaksanaan Penghargaan SARA pada 31 Ogos lepas, lebih 8.3 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA bulanan dengan jumlah perbelanjaan rakyat daripada enam hari mencecah RM536.9 juta di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Bantuan SARA yang disalurkan secara sekali beri melalui MyKad bermula 31 Ogos itu memberi manfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan peruntukan RM2 bilion.

SARA diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira kategori B40, M40 atau T20 yang boleh ditebus secara tanpa tunai di pasar raya terpilih menggunakan MyKad masing-masing.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan