BALING, 5 Sept (Bernama) -- Orang ramai disaran menyemak tiga aspek penting iaitu Prosedur, Pengamal dan Premis (3P) sebelum mendapatkan rawatan estetik bagi memastikan ia selamat serta dapat mengurangkan risiko komplikasi.
Pegawai Perubatan Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr. Najmi Ismail berkata hanya pengamal perubatan berdaftar dibenarkan menjalankan prosedur estetik, dan status mereka boleh disahkan dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Premis rawatan juga wajib berdaftar dengan KKM serta mendapat kebenaran menyediakan perkhidmatan estetik. Jangan sesekali mendapatkan rawatan tidak bertauliah seperti suntikan filler atau botox yang dibuat di rumah atau hotel.
“Semakan 3P amat penting bagi mengelakkan rawatan tidak selamat yang boleh membawa komplikasi serius, termasuk kematian,” katanya ketika ditemui pada Program MADANI Rakyat (PMR) di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, di sini, hari ini.
KKM turut membuka kaunter maklumat sepanjang program itu yang berlangsung hingga esok, termasuk khidmat pendaftaran derma organ, imunisasi, pemeriksaan kecergasan dan pemakanan.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Baling Dr. Ezy Eriyani Nadzari berkata imunisasi influenza percuma untuk warga emas dan vaksin measles rubella (MR) untuk kanak-kanak berusia enam hingga 59 bulan turut ditawarkan sepanjang PMR Kedah.
-- BERNAMA