EKONOMI

MALAYSIA, ASEAN TIMBANG TENAGA NUKLEAR SEBAGAI SUMBER BAHARU

07/09/2025 11:37 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept  (Bernama) -- Beberapa negara anggota ASEAN termasuk Malaysia secara asasnya bersetuju untuk menimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber tenaga baharu di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata negara jiran yang mempertimbangkan penggunaan tenaga baharu itu adalah Singapura, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Thailand.

“Dalam usaha memastikan pembangunan ekonomi negara, bekalan tenaga kepada industri, terutamanya ekonomi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan pusat data yang menggunakan tenaga, kita perlu memastikan bekalan tenaga yang terjamin. Maka kerajaan kini turut mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumbernya.

“Baru-baru ini di Korea Selatan, dalam Mesyuarat Menteri Tenaga Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) turut dipersetujui nuklear adalah satu daripada pilihan bagi negara-negara APEC untuk memastikan bekalan tenaga bersih,” katanya. 

Dalam aspek keselamatan di rantau Asia, kata beliau, kebanyakan loji tenaga nuklear daripada generasi kedua hingga generasi ketiga berkembang dengan baik dari segi teknologi dan keselamatan, alam sekitar, serta penerimaan masyarakat dunia.

“Di peringkat rantau Asia, beberapa negara juga sudah bersetuju menilai penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga termasuklah Singapura, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Thailand.  

"Pada asasnya, mereka memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber mereka,” katanya ketika berucap pada Malam Media Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata agensi di bawah PETRA, MyPower sudah diberi peranan untuk melaksanakan kajian penggunaan tenaga nuklear, namun penggunaan tenaga itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. 

Beliau berkata selain penjanaan kuasa, negara juga perlu melihat kepada sistem grid pintar memandangkan tenaga solar dan tenaga boleh baharu masih tidak stabil.

“Disebabkan itu, kerajaan kini sedang mengkaji, untuk menambah baik sistem grid, dan kembali kepada sistem grid pintar, supaya ia lebih cekap dalam penyimpanan tenaga, penggunaan tenaga serta dapat dipantau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan