Oleh Kamarul Halim M Kamal
PONTIAN, 18 Sept (Bernama) -- Minat membela pelbagai jenis ayam akhirnya menyebabkan Mohd Solehin Ramlan membuka sebuah zoo mini, Reban Pokleh bagi menawarkan peluang kepada orang ramai merasai pengalaman membelai serta memberi makan pelbagai haiwan.
Mohd Solehin, 37, berkata Reban Pokleh di Ayer Baloi berkonsepkan zoo haiwan jinak dibuka Disember 2022 dan semakin mendapat tumpuan mereka yang berkunjung ke daerah terkenal dengan produk nanas itu, terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.
“Orang ramai berpeluang membelai serta memberi makan haiwan seperti burung merak, burung unta, tikus Belanda dan pelbagai jenis ayam, sekali gus menawarkan pengalaman jarang dirasai khususnya mereka tinggal di bandar.
“Kebanyakan pengunjung merupakan pencinta haiwan tetapi tidak berpeluang membela (haiwan) kerana tinggal di taman perumahan di bandar. Malah, ada juga yang datang untuk memenuhi permintaan anak,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Mohd Solehin berkata idea membuka zoo mini bermula daripada minat membela pelbagai jenis ayam hiasan seperti ayam Belanda, ayam Poland dan ayam bulu kucing serta beberapa spesies burung, sehingga jumlahnya mencecah ratusan ekor kerana mengisi masa lapang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pelbagai baka induk ayam dari China, Belanda, Jerman dan Turkiye dibeli. Apabila jumlah ayam dibela makin bertambah, saya terfikir untuk membuka zoo mini bagi berkongsi minat dengan orang ramai. Bermula dengan suka-suka dan saya tidak sangka kini Reban Pokleh menjadi tumpuan pengunjung,” katanya.
Mohd Solehin mengakui bangga kerana minat yang bermula daripada langkah kecil itu kini dapat membantu sektor pelancongan Pontian dengan menjadi pelengkap kepada destinasi popular seperti Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Pulau Kukup.
Lebih membanggakan, Reban Pokleh bukan sahaja dikunjungi masyarakat tempatan, malah menerima kehadiran pelancong asing dari Portugal, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat, sekali gus memberi semangat kepada Mohd Solehin untuk menambah haiwan seperti rusa dan spesies burung.
Sementara itu, pekerja zoo mini itu Zaini Ibrahim, 56, berkata bilangan pengunjung meningkat pada musim cuti sekolah, selain kerap menerima pengunjung berulang.
Antaranya ialah Wong Siang Nam, 50, dan isteri Ng Lee Hua, 44, dari Johor yang membawa anak mereka Wong Zhao Shan, 5, mengunjungi Reban Pokleh lebih tujuh kali setakat ini.
“Kami datang setiap kali cuti. Selain dapat merasai suasana jauh daripada kesibukan kota, antara sebab utama ialah anak gemar bermain dan memberi makanan kepada haiwan ternakan dan paling suka memberi susu kepada kambing,” katanya.
Sementara itu, Ella Anam Aapi, 25, dari Kapit, Sarawak yang datang dengan lima rakan teruja melihat pelbagai jenis ayam tidak pernah dilihatnya, berhasrat untuk berkunjung lagi jika berpeluang ke Pontian selepas ini.
-- BERNAMA