PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Malaysia dipilih sebagai pengerusi bagi Lembaga Pemegang Amanah Rangkaian Buah-Buahan Tropika Antarabangsa (TFNet) untuk tempoh tiga tahun sehingga 2028.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan itu membuktikan kepercayaan oleh anggota TFNet terhadap kemampuan dan keberkesanan peranan yang dimainkan oleh Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada 2000.
Pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah TFNet ke-17 hari ini yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak di Darwin, Australia.
Menurut KPKM, Isham juga mengetuai delegasi Malaysia pada Perhimpunan Agung TFNet ke-9 yang turut diadakan hari ini, antara lain membincangkan berkenaan Pelan Strategik TFNet untuk tempoh 2025-2030 dan cadangan penganjuran Hari Buah-Buahan Tropika Antarabangsa.
“Semasa perbincangan, Isham menekankan supaya negara anggota sentiasa memenuhi komitmen kewangan dalam memastikan kesinambungan operasi TFNet dan menyokong penganjuran program yang dirancang oleh TFNet.
“Beliau mencadangkan supaya TFNet memperluas dan memperkukuh peranan dalam aspek fasilitasi perdagangan bagi memudah cara akses pasaran dan perdagangan buah-buahan tropika terutamanya dalam kalangan negara anggota,” kata KPKM.
TFNet ditubuhkan pada 1998 di bawah inisiatif Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) untuk mempromosikan pembangunan mampan industri buah tropika di seluruh dunia.
Selaras penubuhan itu, Malaysia dipilih sebagai negara hos pengoperasian TFNet bermula pada 2000, dengan ibu pejabat TFNet terletak di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Serdang dan dibiayai oleh kerajaan menerusi KPKM.
Sehingga kini, TFNet disertai 14 negara ahli iaitu Australia, Bangladesh, China, Fiji, India, Indonesia, Malaysia, Nigeria, Filipina, Arab Saudi, Sri Lanka, Sudan, Syria, dan Vietnam.
TFNet turut disertai oleh pertubuhan dan institusi penyelidikan pertanian antarabangsa seperti Pusat Biologi Pertanian Antarabangsa (CABI), Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Asia-Afrika (AARDO) dan Pusat Penyelidikan Sains Pertanian Antarabangsa Jepun (JIRCAS).
-- BERNAMA