Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Walaupun menghadapi ketidaktentuan global yang berterusan, ASEAN terus mengekalkan kekuatan uniknya dengan menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang besar khususnya dalam sektor seperti pendigitalan, tenaga lestari, pembuatan bernilai tinggi dan perkhidmatan kewangan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata aliran masuk FDI ke ASEAN meningkat sembilan peratus pada 2024 kepada US$226 bilion (US$1 = RM4.20).
Beliau berkata jumlah itu membentuk 15 peratus daripada aliran masuk FDI global, sekali gus mengekalkan kedudukan ASEAN sebagai penerima FDI tertinggi dalam kalangan rantau yang sedang membangun bagi empat tahun berturut-turut.
“Berasaskan gabungan pasaran melebihi 680 juta orang dan kelas pertengahan yang terus berkembang, ASEAN kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi global,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) ke-28 di sini, hari ini.
Mesyuarat itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan.
Tengku Zafrul berkata pelaburan intra-ASEAN masih sederhana berbanding aliran masuk dari luar.
“Memperkukuh pelaburan intrarantau bukan sahaja akan memperteguh kesambungan rantaian bekalan malah juga meningkatkan daya tahan ekonomi kita terhadap kejutan luaran,” katanya.
Beliau menyeru kerjasama serantau yang lebih erat dan menggesa negara anggota ASEAN supaya meneguhkan kerjasama serta mengesahkan komitmen masing-masing untuk menjadikan rantau ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
Beliau berkata kerangka AIA berperanan penting dalam memudahkan integrasi ekonomi ASEAN yang lebih berpadu melalui pemudahan aliran pelaburan yang lancar, meningkatkan ketelusan serta menggalakkan persekitaran perniagaan yang boleh dijangka dan berdaya saing.
Bagaimanapun, beliau mengakui rantau ini menghadapi cabaran yang semakin meningkat.
“Hari ini, kita bertemu dalam suasana global yang sangat kompleks dari segi landskap global, persaingan strategik antara kuasa besar, ditambah dengan kerentanan rantaian bekalan dan perubahan corak perdagangan, telah menimbulkan cabaran dan ketidaktentuan kepada ASEAN.
“Semua perkembangan ini boleh menjejaskan aliran modal, mengubah keputusan pelaburan dan membentuk semula kelebihan daya saing ekonomi kita,” katanya.
Mesyuarat Majlis AIA ke-28 membincangkan isu ekonomi global dan serantau, menilai pencapaian ekonomi ASEAN serta meneroka cara untuk memperkukuh kerjasama dalam menyokong usaha integrasi ekonomi serantau ASEAN.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mengadakan AEM ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang akan menghimpunkan lebih 500 perwakilan dari negara anggota ASEAN.
-- BERNAMA