Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid & Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perjanjian perdagangan utama seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) dan perjanjian lain yang dinaik taraf dijangka dapat meningkatkan perdagangan intrarantau.
Selain DEFA, perjanjian lain termasuk Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China dan memuktamadkan Perjanjian Rangkuman Perdagangan ASEAN-India.
“Kesemua inisiatif ini akan membantu meningkatkan perdagangan dalam ASEAN, terutamanya ATIGA dan DEFA,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-57 di sini hari ini.
Selain itu, ATIGA yang dinaik taraf akan menggabungkan elemen-elemen baharu untuk menangani isu-isu baharu muncul, termasuk barangan yang dibuat semula, perdagangan dan alam sekitar, perdagangan ketika situasi krisis kemanusiaan dan ketersambungan rantaian bekalan.
DEFA dijangka menggandakan ekonomi digital ASEAN kepada US$2 trilion menjelang 2030.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya pada mesyuarat AEM dan Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) Ke-39 hari ini, Tengku Zafrul berkata ASEAN akan mempertingkat usaha untuk memantapkan integrasi ekonomi serantau dan menghidupkan semula perdagangan intrarantau.
Ini berikutan perdagangan intrarantau yang kekal tidak berubah sekitar 20 hingga 22 peratus di tengah-tengah landskap perdagangan global yang semakin tidak menentu dan bercelaru.
Beliau berkata meningkatkan perdagangan intra-ASEAN secara strategiknya bukan sahaja merupakan aspirasi ekonomi tetapi juga satu keperluan untuk membina rantau yang lebih berdaya tahan, berdikari dan berdaya saing di peringkat global.
Menurut laporan, perdagangan intra-ASEAN hanya merangkumi 21.2 peratus daripada jumlah perdagangan rantau itu pada 2024, jauh ketinggalan berbanding blok ekonomi lain seperti Kesatuan Eropah, yang mencatat tahap perdagangan intra sebanyak 60 peratus.
Tengku Zafrul berkata kebimbangan mengenai langkah bukan tarif dalam DEFA dan ATIGA sedang ditangani. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut.
--- BERNAMA