JENAYAH & MAHKAMAH

MARITIM MALAYSIA TAHAN KAPAL TANGKI BERSAUH SECARA HARAM DI PERAIRAN TANJUNG PIAI

23/09/2025 06:49 PM

PONTIAN, 23 Sept (Bernama) --  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki berdaftar di Panama selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran kira-kira empat batu nautika barat Tanjung Piai, pagi tadi.

Pemangku Pengarah Maritim Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri sebelum menggerakkan bot PERKASA 42 ke lokasi menerusi rondaan Op Jaksa, Op Todak dan Op Tiris 3.0.

“Kapal itu ditahan pada pukul 5.30 pagi dengan 23 kru berusia antara 23 hingga 51 tahun, iaitu 19 warga India, dua warga Tanzania, seorang warga Myanmar dan seorang warga Mesir.

“Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun nakhoda gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam satuh kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pegawai kanan kapal (nakhoda kedua), ketua jurutera serta beberapa dokumen berkaitan turut ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai untuk siasatan lanjut.

Katanya kapal terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan