AM

MENJEMPUT DONALD TRUMP KE SIDANG KEMUNCAK ASEAN LANGKAH PRAGMATIK BAGI MALAYSIA DAN RANTAU INI

28/09/2025 12:00 PM

Oleh Wong Chun Wai

 

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Malaysia, seperti negara anggota ASEAN yang lain, kini meniti jalan yang penuh berliku apabila blok serantau itu memilih untuk kekal berkecuali dalam persaingan geopolitik.

Ini bermakna Malaysia tidak akan sesekali memihak kepada Amerika Syarikat, China atau Rusia sebaliknya terus mengekalkan dasar luar yang bebas.

Malaysia dan rantau ini perlu bersikap pragmatik. Keputusan Malaysia untuk menjemput Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini bulan depan mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan sesetengah pihak, namun ia adalah tindakan yang tepat dan wajar.

Langkah ini juga diambil dengan penuh perhitungan dan bersifat strategik yang wajar diberi diberikan pertimbangan secara adil. Kita perlu menjaga kestabilan serantau, pertumbuhan ekonomi dan autonomi strategik.

Suka atau tidak, Amerika Syarikat masih merupakan negara yang paling berkuasa di dunia. Hakikatnya, Malaysia hanyalah sebuah negara kecil walaupun kita telah mula memainkan peranan penting dalam diplomasi antarabangsa.

Trump kekal sebagai figura yang berpengaruh dalam arena politik Amerika Syarikat mahupun di pentas global. ASEAN tidak pernah menjadi keutamaan dalam agenda Trump namun inilah masanya untuk menarik perhatian beliau agar menyedari kepentingan ekonomi dan strategik rantau ini.

Keputusan beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN adalah satu kejayaan besar bagi Malaysia selaku Pengerusi blok serantau itu, dan peluang kepada ASEAN untuk berinteraksi dengannya. Malah lawatan Trump ini boleh dianggap sebagai peluang keemasan untuk Malaysia dan ASEAN menyampaikan naratif mereka kepada dunia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tepat menegaskan bahawa Malaysia perlu kekal strategik dalam setiap rundingan, dengan terus berpegang teguh kepada prinsip kebenaran dan keadilan sambil mengamalkan pendekatan diplomasi yang bijaksana.

Perdana Menteri berkata meskipun Malaysia bukan kuasa besar, negara ini terus dihormati di peringkat antarabangsa kerana pendiriannya yang konsisten dalam memperjuangkan keadilan dan kebebasan bersuara di pentas global.

Para pengkritik Trump berhujah bahawa dasar luar negaranya sebelum ini adalah tidak menentu serta sukar diramal, dan Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa agar kerajaan menarik balik jemputan kepada Trump untuk menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu berkata Amerika Syarikat terus membekalkan dana, senjata dan bantuan ketenteraan kepada Israel, yang digunakan untuk meneruskan pembunuhan rakyat Palestin.

Pendirian Malaysia mengenai Palestin adalah konsisten, dan Anwar dengan lantang telah bersuara menentang Israel di pelbagai forum antarabangsa serta berikrar memberikan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin.

Pada masa sama, kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa Amerika Syarikat adalah pasaran eksport terbesar bagi Malaysia, malah mengatasi China. Amerika Syarikat adalah antara rakan perdagangan utama Malaysia, dan hubungan ini meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh sedekad, mencecah USD78.3 bilion pada tahun 2022.

Dilaporkan juga bahawa perdagangan dua hala pada tahun 2024 kekal kukuh, dengan nilai dagangan meningkat hampir 30 peratus kepada USD71.4 bilion, menurut pengumuman Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada tahun 2025.

Amerika Syarikat kekal sebagai rakan perdagangan yang penting, pelabur utama serta rakan kerjasama dalam aspek keselamatan, dan hubungannya dengan Malaysia menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri juga berkata eksport semikonduktor Malaysia ke Amerika Syarikat sahaja mencecah berbilion ringgit, dengan puluhan ribu rakyat negara ini bekerja dalam sektor itu. Beliau berkata, “jika kita tolak hubungan ini secara mutlak, rakyatlah yang akan menanggung akibatnya.”

Sebagai sebuah negara yang menjalankan aktiviti perdagangan, Malaysia tidak boleh hanay bergantung kepada satu blok politik sahaja. Kita perlu menjalinkan hubungan dengan setiap negara dan pemimpin dunia. Kita tidak mampu untuk menjauhkan diri daripada Amerika Syarikat mahupun Trump.

Secara jujur, ia adalah tindakan yang sangat tidak bijak jika kita berbuat demikian atau mendengar cadangan Tun Dr Mahathir.

Di mana sahaja Trump pergi, termasuk di negaranya sendiri, beliau pasti akan disambut dengan protes.

Kita boleh menjangka ada rakyat Malaysia yang akan membantah dan meminta beliau pulang ke Amerika Syarikat apabila berada di Kuala Lumpur, dan sememangnya rakyat kita mempunyai hak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Namun begitu, harus diingat bahawa beliau adalah tetamu negara, dan Kerajaan Malaysia wajib memberikan sambutan yang meriah. Inilah erti sebenar Hospitaliti Malaysia.

Ringkasnya, Malaysia dan ASEAN perlu bersikap fleksibel, pragmatik serta realistik. ASEAN harus terus berpegang teguh kepada prinsip yang sudah lama diamalkan iaitu tidak mencampuri urusan dalaman mana-mana negara, membuat keputusan secara konsensus, dan berasaskan manfaat bersama.

Sidang Kemuncak ASEAN merupakan platform untuk berdialog, bukannya tempat untuk menghukum atau mengecam dasar-dasar Trump.

Justeru itu, marilah kita manfaatkan pertemuan dengan Trump untuk memberi tumpuan kepada perjanjian perdagangan, aliran pelaburan, pembangunan infrastruktur, dan kestabilan serantau yang akan membawa faedah kepada Malaysia serta rantau ini.

Ia juga bakal menyajikan peluang buat Malaysia dan ASEAN untuk berkongsi secara langsung dengan Trump tentang betapa seriusnya kita memandangkan situasi di Palestin serta pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel.

Perdana Menteri memikul tanggungjawab yang berat di bahunya, namun ini juga adalah peluang keemasan untuk memeterai pelbagai urusan penting dengan Trump.

Perhatian dunia akan tertumpu kepada Malaysia sepanjang sidang kemuncak ini. Maka, marilah kita menjadi tuan rumah yang sempurna.

-- BERNAMA 

 

* Datuk Seri Wong Chun Wai adalah Tokoh Wartawan Negara dan Pengerusi Bernama

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan