ALOR SETAR, 15 Jan (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan 38 projek menerusi peruntukan pembangunan Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Kedah, melibatkan kos keseluruhan RM4.389 bilion.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan bagi pelaksanaan projek-projek berkenaan pada tahun ini berjumlah RM253 juta.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sebanyak 21 projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melibatkan kos keseluruhan RM1.995 bilion, dengan peruntukan RM184 juta bagi tahun 2026 yang dibiayai secara geran langsung.
“Sebanyak 14 projek pula di bawah Jabatan Bekalan Air melibatkan kos keseluruhan RM2.078 bilion, dengan peruntukan RM59 juta bagi 11 projek yang dibiayai secara geran langsung dan RM5 juta bagi tiga projek yang dibiayai secara pinjaman,” katanya ketika merasmikan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan Kota Setar (RSTP Kota Setar) di sini hari ini.
Beliau berkata tiga lagi projek di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) melibatkan kos keseluruhan RM316 juta, dengan peruntukan RM5.5 juta bagi tahun 2026 yang dibiayai secara geran langsung.
Fadillah berkata antara projek baharu PETRA yang menjadi tumpuan di Kedah tahun ini ialah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Karangan di Kulim, melibatkan kos RM496.124 juta, serta projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Temin/Bata di Daerah Kubang Pasu dengan kos RM290 juta.
Beliau seterusnya menyeru kerajaan negeri agar bekerjasama bagi menyegerakan pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan.
“Bagi fasa pertama, kita perlu melantik konsultan untuk pemeriksaan tapak dan penyediaan reka bentuk. Fasa ini amat kritikal supaya perancangan dapat disiapkan tahun ini dan proses tender boleh dipercepatkan pada tahun berikutnya,” katanya.
Mengenai RSTP Kota Setar, Fadillah berkata loji itu merupakan yang terbesar di Kedah dengan keupayaan merawat kumbahan sehingga 100,000 penduduk setara (Population Equivalent – PE), dan boleh ditingkatkan kepada 300,000 PE pada masa hadapan.
Beliau berkata loji berkenaan mula beroperasi secara berperingkat sejak 9 Ogos tahun lalu, dengan satu daripada komponen utama projek ialah program rasionalisasi 28 loji rawatan kumbahan sedia ada serta sistem pembetungan di 16 premis kerajaan.
“Penyediaan sistem pembetungan serantau di Kota Setar yang melibatkan kos pembinaan RM238.8 juta ini akan memberi manfaat kepada penduduk Bandaraya Alor Setar serta kawasan perumahan dan kejiranan di Derga, Kota Setar dan Alor Malai,” katanya.
Pada majlis itu, Fadillah turut menyaksikan penyerahan operasi loji berkenaan kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), syarikat pembetungan nasional yang bertanggungjawab menguruskan sistem pembetungan awam di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri dan Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya.
-- BERNAMA
