PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Perbadanan Kota Buku (PKB) akan memacu pelbagai usaha yang menyokong teras Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 khususnya dalam memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti dan menggalakkan budaya membaca melalui platform digital serta rangkaian pengagihan yang lebih menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar berkata sebagai rakan pelaksana dalam ekosistem, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap RPM yang digariskan sebagai pelan strategik nasional, merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
“PKB akan terus memperkukuh pembangunan literasi melalui pengembangan platform digital dan pengagihan bahan bacaan yang relevan bagi mengurangkan jurang akses, khususnya di kawasan luar bandar serta komuniti berkeperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adibah berkata beliau mengambil maklum penegasan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek terhadap peranan PKB, dalam menjadikan buku sebagai jambatan keadilan ilmu.
Beliau berkata melalui pelaksanaan Baucar Buku pada 2024 dan 2025, akses kepada bahan bacaan telah mencapai tahap tertinggi dalam sejarah negara, sekali gus memastikan murid dan guru di kawasan pedalaman seperti Nanga Ulu, Sarawak dan Kinabatangan, Sabah menikmati akses judul yang sama seperti di kawasan bandar.
Adibah berkata usaha itu, mencerminkan prinsip keadilan pendidikan yang menjadi teras kepada agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sebagai kesinambungan kepada usaha tersebut, beliau berkata PKB menyokong pelaksanaan sumbangan satu juta buku tulis berasaskan kertas kitar semula kepada murid daripada keluarga B40.
“Tahun ini, inisiatif tersebut akan memanfaatkan murid terpilih di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menerusi kerjasama strategik antara PKB dan 27 syarikat korporat, dengan setiap murid menerima 10 buku tulis bagi menyokong keperluan pembelajaran harian mereka,” katanya.
Adibah berkata dalam usaha menyemai minat membaca sejak usia awal, PKB turut menyokong pelaksanaan Mini Kota Buku Cilik selaras dengan Kurikulum Baharu Prasekolah 2026, yang bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan amalan membaca secara konsisten pada peringkat prasekolah, selain menyokong pembangunan literasi awal secara lebih terancang.
Pada masa sama, beliau berkata PKB akan bekerjasama dengan KPM dalam penyediaan peranti Braille digital kepada murid berkeperluan khas penglihatan, bagi memastikan akses pembelajaran yang lebih saksama dan inklusif.
Adibah berkata sebagai peneraju pembangunan ekosistem perbukuan negara, PKB komited memastikan setiap dasar dan amanat yang digariskan Menteri Pendidikan dilaksanakan secara efektif, inklusif dan memberi impak jangka panjang.
“Kesemua inisiatif ini turut disokong melalui pembangunan BookCapital.my sebagai pusat sehenti ekosistem perbukuan negara, dengan buku dan pembacaan terus menjadi pemacu utama pembangunan insan serta sokongan kepada agenda pendidikan nasional,” katanya.
Rancangan Pendididikan Negara (RPN) 2026-2035, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lepas, merupakan langkah reformasi pendidikan bagi membina masa hadapan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.
RPN merangkumi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia yang dikendalikan Kementerian Pendidikan Tinggi dan RPM di bawah seliaan KPM.
-- BERNAMA
